Tuesday, August 10, 2010

Banyak Majikan Menentang Penetapan Gaji Minimum - Chandra Muzaffar

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kebanyakan majikan swasta di negara ini nampaknya menentang usaha untuk membela nasib golongan miskin melalui penetapan gaji asas minimum, kata pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar.

Begitu pun, kata beliau kerajaan perlu terus menangani cabaran berhubung pendapatan rendah dan pelebaran jurang ketidaksamaan dalam masyarakat, tanpa menghiraukan kerenah kumpulan kecil yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi masing-masing dan terlalu taksub dengan tanggapan dangkal bahawa "kuasa pasaranlah yang menentukan kadar gaji".

Ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar dalam kalangan anggota masyarakat di negara ini menjadi penghalang utama kepada perpaduan dan kesepakatan yang ingin dicapai di bawah Gagasan 1Malaysia, katanya dalam kenyataan Isnin.

Sekiranya 1Malaysia dibina berasaskan premis keterangkuman, maka ia bukan sahaja perlu memastikan 40 peratus rakyat yang tergolong dalam kelompok bawahan menerima pendapatan mencukupi untuk menyara kehidupan mereka, tetapi juga merapatkan perbezaan begitu ketara dalam bidang ekonomi dan sosial, yang mencemari maruah manusia, kata Dr Chandra.

Yayasan 1Malaysia adalah sebuah badan bukan mencari keuntungan, yang bermatlamat menggerakkan seluruh rakyat Malaysia berusaha ke arah mencapai perpaduan nasional dan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Dr Chandra berkata arah aliran gaji di Malaysia hanya mencatat pertumbuhan tahunan 2.6 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas, berbanding peningkatan besar kos sara hidup dalam tempoh yang sama dan inilah sebabnya kenapa hampir 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja memperoleh pendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

Beliau berkata tidak sukar untuk mencari sebab kenapa pekerja di negara ini memperoleh pendapatan serendah itu dan kenapa jurang pendapatan dalam kalangan rakyat begitu ketara.

"Kebanjiran masuk tenaga kerja tidak mahir dan bergaji rendah ke negara ini sejak penghujung 1980-an memainkan peranan besar dalam merendahkan kadar upah bagi sekelompok rakyat.

"Pada waktu sama, peliberalan sektor kewangan dan penswastaan syarikat awam di Malaysia, seperti yang dilakukan di kebanyakan negara, telah meningkatkan pendapatan kelompok yang lain pula dan seterusnya melebarkan jurang ketidaksamaan," kata beliau.

Dr Chandra berkata kerajaan cuba memberi respons terhadap cabaran itu dengan mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing dan dengan menaikkan kadar upah serta memperbaiki keadaan bekerja dalam sektor ekonomi tertentu.

Katanya 90 peratus negara memiliki undang-undang yang memperuntukkan gaji minimum mengikut cara masing-masing.

Bagaimanapun, kata beliau banyak ahli ekonomi dan sosiologi hari ini berpendapat bahawa istilah "gaji minimum", yang merupakan produk era sebelum ini, perlu digantikan dengan istilah "pendapatan untuk menyara kehidupan" yang mempunyai kaitan dengan maruah manusia.

"Pendapatan untuk menyara kehidupan" adalah paras pendapatan minimum yang mampu memenuhi lima keperluan asas setiap manusia serta tanggungan mereka -- makanan, tempat kediaman, pakaian, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Keperluan ini amat perlu dipenuhi untuk melindungi maruah manusia," katanya.

Dr Chandra mendakwa kerajaan, pemilik modal dan anasir-anasir lain yang berkuasa di peringkat atasan dalam masyarakat, sering gagal melindungi maruah orang ramai, yang mengakibatkan meningkatnya jumlah mereka yang terpinggir dan tidak berpuas hati di kebanyakan tempat di dunia.

China adalah contoh sebuah negara di mana kadar pertumbuhannya yang mencapai kadar luar biasa sejak awal 1990-an, hanya memberi manfaat kepada golongan minoriti, bukan golongan majoriti serta menjadi punca meningkatnya kekacauan sosial. Perkara ini diakui oleh Akademi Sains Sosial China, sebuah badan yng begitu dihormati.

Demikian juga halnya bagi India di mana kejayaan ekonominya yang amat membanggakan, tidak membawa perubahan kepada berjuta-juta penduduknya. Kajian terbaru Pertubuhan Bangsa Bersatu mendapati bahawa sepertiga daripada golongan miskin di dunia boleh dikatakan hidup dalam keadaan melarat.

Bantahan oleh pergerakan "baju merah" di Thailand, yang mewakili sebahagian besar penduduk miskin luar bandar di negara itu, disifatkan oleh sesetengah penganalis sebagai luahan perasaan marah dan kecewa golongan yang terpinggir.

Dr Chandra berkata nasib 40 peratus daripada rakyat Malaysia yang merupakan golongan berpendapatan rendah tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan keadaan golongan miskin di China, India atau Thailand.

"Bagaimanapun, peminggiran tetap berlaku. Sebahagian daripada perasaan terpinggir ini diluahkan melalui peti undi dalam Pilihan Raya Umum Mac 2008. Peningkatan kadar jenayah yang begitu ketara dan pelbagai kes pengabaian sosial yang muncul antara 2006 dan 2008 juga, mungkin berpunca daripada pemencilan dan peminggiran ini.

"Terdapat juga kemungkinan bahawa sebahagian daripada mereka yang termasuk dalam golongan ini -- terutama belia -- berasa mereka dipinggirkan oleh masyarakat, yang lebih memberi perhatian terhadap selera golongan elit, daripada memenuhi tuntutan naluri mereka agar mereka dihormati dan diberi pengiktirafan.

Dr Chandra berkata tiada siapa yang pasti bagaimana peminggiran golongan miskin ini dan mereka yang terpaksa berhempas pulas untuk memenuhi keperluan hidup, akan menampakkan kesannya dalam beberapa tahun akan datang.

Oleh itu, kata beliau kerajaan perlu menangani isu berkaitan pendapatan rendah dan pelebaran jurang ketidaksamaan ini dengan sebaik-baiknya. - BERNAMA

1 comment:

  1. gaji pekerja restoran makanan2 segera terkenal di Malaysia bermula hanya RM650.... berbanding keuntungan besar mereka setiap tahun...... lebih kurang 7 tahun dulu bermula hanya rm500...tidak bolekah pekerja restoran makanan segera gaji asas mereka bermula rm800-900, dgn kerja selama 8 jam berdiri, sejam rehat baru bole duduk....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...