Sunday, August 1, 2010

44 GRO Vietnam ditahan dalam 'Ops Noda'

Gambar hiasan

IPOH 31 Julai - Polis menahan seramai 44 wanita Vietnam yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) dan dua rakyat tempatan dalam dua serbuan 'Ops Noda' di Sitiawan baru-baru ini.

Serbuan pada tengah malam Ahad dan Selasa lalu itu diketuai oleh Cif Inspektor Asbudi Tarawi bersama-sama 21 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, serbuan itu hasil maklumat orang ramai setelah mendapati kedua-dua pusat hiburan itu beroperasi tanpa lesen selain melebihi waktu yang ditetapkan.

Katanya, ketika serbuan, wanita berusia antara 17 hingga 24 tahun cuba melarikan diri tetapi polis berjaya memberkas mereka.

"Siasatan mendapati lima daripada 44 GRO terbabit didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala 39 lagi menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai GRO," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Dzuraidi berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan itu kerana kesalahan membenarkan warga asing bekerja tanpa permit kerja yang sah, menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan dan melanggar syarat lesen kerana beroperasi lebih masa.

Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan Imigresen 1959/63.

Tambahnya, pihaknya akan terus melakukan serbuan di pusat-pusat hiburan yang menyediakan khidmat GRO warga asing.

Sehubungan itu, polis memberi amaran supaya pengusaha pusat hiburan tidak membenarkan GRO warga asing bekerja di pusat hiburan milik mereka. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...