Sunday, August 8, 2010

20,000 Pendatang Minta 'ampun' Melalui PPP-PATI


Cari peluang sambut hari raya di Indonesia Dengan Pulang Secara Sah Melalui Program Penghantaran Pulang PATI
KUALA LUMPUR: Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, kira-kira 20,000 Indonesia yang mencari rezeki di negara ini tanpa sebarang dokumen membanjiri kedutaan republik itu untuk mendapatkan ‘pengampunan’ dengan memohon Sijil Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) bagi membolehkan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam masa dua bulan, bermula Jun 2010, kira-kira 12,000 rakyat Indonesia memohon SPLP, berbanding lima bulan pertama tahun ini apabila kira-kira 8,000 rakyat republik itu menyerah diri untuk tujuan sama.

Kaunselor Penerangan, Sosial dan Budaya, Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta, berkata jumlah rakyat Indonesia memohon SPLP meningkat secara mendadak kerana masing-masing berhasrat menjalani ibadat puasa dan menyambut 1 Syawal bersama keluarga.

“SPLP adalah langkah terbaik untuk membolehkan rakyat Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan pulang melalui saluran sah, selain mengelak ditahan pihak berkua-sa negara ini.

“Majoriti rakyat Indonesia tidak memiliki dokumen adalah mereka yang masuk sebagai pelancong dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan atau pekerja melarikan diri daripada majikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mei lalu, seramai 8,000 warga Indonesia menyerah diri dengan lebih 7,000 berbuat demikian dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. Dalam tempoh itu juga, antara 30 hingga 50 orang memohon SPLP setiap hari.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi menangkap pendatang tanpa izin termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini. Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan berikutan rayuan pelbagai pihak.

Widyarka berkata, rekod kedutaan Indonesia menunjukkan, dalam masa dua bulan sehingga akhir Julai lalu, sebanyak 19,727 SPLP dikeluarkan dan kira-kira 200 orang tampil setiap hari.

Beliau berkata, warga Indonesia yang menyerah diri perlu membayar kompaun, tambang perjalanan pulang sama ada melalui laluan laut atau udara, selain RM15 untuk mendapatkan sijil berkenaan.

Katanya, walaupun menyediakan saluran mudah untuk rakyat republik itu pulang ke tanah air tetapi masih ada yang menggunakan ‘jalan belakang’ terutama menerusi laluan laut. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...