Thursday, August 19, 2010

19 Warga Asing Ditahan Dalam Dua Operasi Berasingan

ALOR SETAR 19 Ogos - Seramai 19 warganegara asing dari Thailand, Indonesia dan Bangladesh ditahan dalam dua operasi berasingan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Kedah sejak Rabu malam.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah Hasreena Hashim berkata operasi yang bermula dari pukul 11 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi ini dilakukan di lapan lokasi di sekitar bandar Alor Setar dan tangkapan dibuat di dua lokasi iaitu Kuala Kedah dan Kampung Mempelam di sini.

"Dalam Ops Selera yang mensasarkan sekitar restoran, 13 lelaki dan dua wanita rakyat Thailand ditahan atas kesalahan melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, di Kuala Kedah," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Dalam Ops Sapu pula, empat lelaki terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh ditahan di Kampung Mempelam, Mergong. Tiga daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang sah," katanya.

Hasreena berkata jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali, dan tidak lebih enam sebatan.

"Seorang lelaki yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas yang ditetapkan pula boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata semua yang ditangkap dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar sebelum dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...