Wednesday, August 4, 2010

19 PATI Ditahan Dalam Ops Sapu

ALOR SETAR 3 Ogos - Tak serik-serik. Biarpun pernah ditahan dan dihantar pulang ke negara asalnya kira-kira empat bulan lalu, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masih tetap menyeludup masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, wanita berusia 20-an itu berjaya ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Imigresen negeri di sekitar bandar raya ini semalam.

Tidak pernah serik dan mencabar pihak berwajib. - Gambar hiasan.

Timbalan Pengarahnya, Hasreena Hashim berkata, seramai 33 pegawai Imigresen telah melakukan pemeriksaan di rumah sewa di sembilan lokasi berbeza sekitar Alor Setar dan Felda Sungai Tiang, Pendang, dekat sini.

"Wanita tersebut telah berkahwin dengan warga Myanmar dan dipercayai masuk semula ke negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Pihak kami percaya ramai antara PATI masuk semula ke negara ini dengan menggunakan jalan laut," ujarnya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi selama enam jam itu dan berakhir kira-kira pukul 4 pagi berjaya menahan seramai 19 PATI.

"Tujuh yang ditahan ialah warga Kemboja, Myanmar (lima), Bangladesh (empat) dan Indonesia (tiga).

"Pasukan kami terpaksa memecahkan pintu rumah selepas mereka enggan memberikan kerjasama," katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan lapan bulan hingga 40 tahun dan dipercayai melakukan kesalahan seperti tiada pas perjalanan, tinggal lebih masa dan memiliki pas perjalanan palsu.

"11 tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 6(3), Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah.

"Lima lagi akan didakwa di bawah Seksyen 56(1)(l), Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Hasreena menambah, mereka akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik untuk siasatan lanjut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...