Saturday, August 21, 2010

15 GRO Warga China Diberkas

Sebahagian daripada 15 wanita warganegara China yang dipercayai GRO ditahan Polis Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di Pusat Hiburan Karaoke Taman AST, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 20 Ogos - Meskipun sebuah pusat hiburan di Taman AST, dekat ini sudah empat kali diserbu polis, namun pemiliknya langsung tidak gentar malah berlagak kebal.

Apa tidaknya, ketika 'anak ayam belaan' diangkut pihak berkuasa, pemiliknya hanya tersenyum sinis tanpa langsung menunjukkan rasa insaf.

Dalam serbuan itu, seramai 15 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China ditahan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam Ops Noda di sini malam tadi.

Menurut Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Habibi Majinji, serbuan itu bermula pukul 9.20 malam tadi, melibatkan dua pegawai serta 12 anggota.

"Ketika serbuan, kesemua GRO berusia antara 18 dan 46 tahun itu dikatakan cuba menyembunyikan diri dengan memasuki dinding terowong yang disediakan pemilik premis," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Habibi menjelaskan, dalam serbuan itu juga, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun warga tempatan yang merupakan penjaga pusat hiburan berkenaan.

Jelas beliau, ketika serbuan dilancarkan seramai 17 pelanggan dikatakan sedang berhibur di dalam premis itu.

"Kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung bagaimanapun kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Tambah beliau, polis akan mengadakan pemeriksaan lebih kerap di pusat-pusat hiburan di negeri ini yang dikenal pasti menjadi tumpuan golongan itu.

"Kita mengalu-alukan orang ramai supaya bekerjasama dengan memberikan maklumat mengenai kegiatan tersebut atau kehadiran GRO warga asing di sekitar negeri ini," katanya.

Kesemua GRO yang ditahan itu dibawa ke IPD Seremban untuk disoal siasat sebelum dikenakan tindakan susulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...