Saturday, August 14, 2010

10,000 Warga Indonesia Tiada Dokumen Dijangka Pulang Berhari Raya Guna SPLP

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Lebih 10,000 pencari nafkah warga Indonesia tanpa dokumen perjalanan dijangka pulang ke tanah air mereka secara beransur-ansur bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Anggaran tersebut dibuat berdasarkan permohonan Sijil Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang diterima Kedutaan Indonesia di Malaysia sejak kebelakangan ini, kata Kaunselor Penerangan, Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia Widyarka Ryananta.

Secara purata, kedutaan menerima antara 200 dan 300 permohonan sehari sejak akhir-akhir ini dan jumlah ini dijangka meningkat menjelang Aidilfitri, katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Bulan lepas, beliau berkata kedutaan menerima sebanyak 4,753 permohonan untuk sijil tersebut manakala pada Jun pula 2,708.

SPLP adalah sijil yang dipohon oleh rakyat Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan untuk pulang melalui saluran sah dan ia dilihat bermanfaat bagi mereka untuk mengelak ditahan pihak berkuasa negara ini.

"Sijil itu akan dikeluarkan atas jumlah permintaan yang diterima kedutaan dari seluruh cawangan di negara ini seperti di sini (Jalan Tun Razak), Johor Baharu, Pulau Pinang dan Miri (Sarawak)," kata Widyarka.

Beliau berkata rakyat republik itu yang telah mendapat sijil tersebut akan dihantar pulang melalui laluan udara dan laut menerusi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan perkhidmatan feri seperti di Pelabuhan Klang dan Johor Bahru.

Bagi warga Indonedia yang mempunyai dokumen perjalanan sah, katanya mereka boleh terus membeli tiket untuk pulang sebelum melaporkan diri di pintu keluar kepada pegawai Imigresen.

Beliau berkata mereka yang ingin memohon SPLP itu hanya perlu membayar kompaun, tambang perjalanan pulang sama ada melalui laluan laut atau udara, selain RM15 untuk mendapatkan sijil berkenaan.

Widyarka dalam pada itu melahirkan rasa kecewanya kerana masih terdapat rakyat republik itu yang menempah nahas dengan menggunakan laluan tikus (laut) untuk pulang ke negara mereka walaupun sedar bakal berdepan risiko yang tinggi.

"Mereka sepatutnya sedar sudah banyak kali kejadian seperti ditahan ketika cuba keluar tanpa sijil serta kejadian bot karam yang melebihi muatan sehingga ada yang menyebabkan berlakunya kemalangan jiwa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...