Friday, July 23, 2010

Sindiket pemalsuan pasport tumpas

PUTRAJAYA 22 Julai - Satu sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen penting termasuk pasport antarabangsa Malaysia yang sebelum ini mampu 'berjoli sakan' dengan hasil kegiatan haram bernilai ratusan ribu ringgit itu akhirnya tumpas hari ini apabila diserbu penguat kuasa Jabatan Imigresen.

Dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Ampang pukul 2.50 petang itu, seorang lelaki Indonesia berusia 30-an yang sedang leka memproses dokumen palsu ditahan bersama kelengkapan termasuk komputer, alat pengimbas, pencetak dan alat memotong.


Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Raja Mohd. Raja Ismail berkata, rampasan membabitkan lebih 21 dokumen perjalanan termasuk satu pasport Malaysia, MyKid dan puluhan lagi pasport Indonesia adalah yang terbesar dilakukan pasukan itu tahun ini.

Menurut beliau, turut dirampas, puluhan pelekat dokumen perjalanan dan dokumen agensi lain seperti kad pengesahan nikah Indonesia, MyKad dan lesen memandu.

"Pegawai kami telah membuat intipan sejak tiga minggu lalu ke atas sindiket itu yang berpusat di Ampang dan Hulu Klang. Ia dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.

"Dalam serbuan itu, kami berjaya menahan seorang ahli sindiket ketika dia cuba melarikan diri dari tingkat empat pangsapuri berkenaan. Kami sedang memburu saki-baki ahli kumpulan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Raja Mohd., suspek yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 atas kegiatan pemalsuan dokumen terbabit dan kemasukan tanpa izin ke negara ini.

"Suspek kini ditahan reman di lokap Jabatan Imigresen di sini bagi membolehkan kami mengesan pergerakan sindiket tersebut.

"Kita percaya selain sindiket berkenaan, terdapat banyak sindiket berskala kecil seumpama itu yang wujud dan kami akan terus memburu mereka," tegasnya.

Beliau berkata, pelanggan sindiket berkenaan terdiri daripada rakyat asing yang memerlukan dokumen walaupun terpaksa membayar ribuan ringgit kepada sindiket berkenaan.

"Pasport Malaysia diminati rakyat asing kerana amat dipercayai penggunaannya di negara lain tetapi sindiket tersebut gagal meniru 100 peratus ciri-ciri keselamatan pada dokumen berkenaan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...