Friday, July 30, 2010

Operasi Kesan, Tahan Majikan Ambil Pekerja Asing Tanpa Permit

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja, kelmarin memulakan operasi besar-besaran bagi mengesan dan menahan majikan yang gagal mematuhi peraturan menggaji pekerja asing di negara ini.

Sebaik bermula, Jabatan Imigresen melakukan serbuan terhadap sebuah kilang perabot di Kampung Melayu Subang, Subang Jaya, Selangor, kelmarin kerana didapati menggaji 66 pekerja asing tanpa dokumen yang sah dan tinggal lebih masa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata operasi besar-besaran dilakukan Jabatan Imigresen membuktikan kerajaan memang serius untuk mengambil tindakan terhadap syarikat atau individu gagal mematuhi peraturan menggaji pekerja asing di negara ini.

Malah, Abu Seman berkata, dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan undang-undang Jabatan Imigresen sudah melakukan sebanyak 3,687 operasi dan pemeriksaan terhadap pelbagai premis termasuk di sektor perladangan, perusahaan dan perkhidmatan di seluruh negara, sejak Januari lalu.

Berikutan itu, Abu Seman berkata, orang ramai dan majikan wajar mengetahui bahawa mereka yang melakukan kesalahan termasuk menggaji pekerja tanpa permit, menyalahguna pas dan pendatang tanpa izin (Pati) boleh diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Mengikut seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, mana-mana majikan yang didapati bersalah menggaji kurang daripada lima pekerja asing boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap warga asing yang ditahan di premis mereka.

“Majikan yang menggaji lebih lima pekerja asing pula boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak lebih enam kali,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abu Seman berkata, majikan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55E akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya untuk setiap pekerja asing yang dijumpai di premis terbabit.

Seksyen 56 (1)(d) akta sama pula memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun serta enam sebatan bagi setiap Pati yang dilindungi majikan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...