Thursday, July 29, 2010

Lelaki lindungi tukang urut ditahan

ALOR SETAR 28 Julai - Cubaan seorang lelaki untuk menyogok seorang pegawai Jabatan Imigresen negeri yang melakukan serbuan ke atas sebuah rumah urut di Jalan Pegawai di sini malam tadi menjerat diri sendiri.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berada di lokasi kejadian selepas mendapat maklumat daripada pegawai Imigresen mengenai perbuatannya itu.

Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Hatta Kassim berkata, serbuan kira-kira pukul 8 malam ke atas rumah urut tersebut dilakukan hasil maklumat awam berhubung kegiatan berkenaan.

Ketika serbuan, katanya, tiga wanita warga Thailand, seorang pekerja tempatan dan dua lelaki tempatan dipercayai pelanggan berada di dalam rumah urut tersebut.

Katanya, pada mulanya, pekerja tempatan itu mendakwa mereka bekerja sebagai tukang gunting, tetapi akhirnya mengakui menjalankan kegiatan mengurut termasuk pelacuran.

"Semasa pemeriksaan, muncul seorang lelaki yang kemudian bertemu salah seorang pegawai penguat kuasa memberitahu majikannya menawarkan wang tunai sebanyak RM3,000 agar membebaskan ketiga-tiga wanita warga Thailand terbabit.

"Anggota kami terus menghubungi pegawai SPRM memaklumkan cubaan sogokan itu. Kemudian, sewaktu lelaki itu cuba menyerahkan wang sebanyak RM2,100, dia terus ditahan oleh pegawai SPRM terbabit," katanya di sini hari ini.

Mohd. Hatta mmberitahu, lelaki itu yang dipercayai rakan kepada majikan rumah urut berkenaan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...