Thursday, July 29, 2010

Kongsi gelap dikesan rekrut warga asing

Gambar hiasan

PULAU PINANG 28 Julai - Kumpulan kongsi gelap di negara ini kini dikesan membuka keahlian kepada kaum lain dan juga rakyat asing terutama dari Indonesia dan Myanmar.

Kebanyakan mereka diambil menjadi ahli untuk menjaga gerai-gerai tanpa lesen yang menjual cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) dan cakera padat (CD) di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, jika sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, keahlian kumpulan kongsi gelap ini eksklusif untuk orang Cina namun kini ia terbuka untuk menerima ahli daripada latar belakang berbeza.

"Untuk menjadi ahli kongsi gelap tidak susah seperti dulu yang mana mereka terpaksa melalui beberapa upacara tertentu," katanya berucap pada sesi dialog bersama pemimpin anjuran Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Batu Uban di sini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu; Koordinator BN Batu Uban, Goh Kheng Sneah; Koordinator BN Pantai Jerejak, Wong Mun Hoe dan Koordinator BN Bayan Baru, David Yim.

Beliau menjawab soalan salah seorang peserta berhubung laporan akhbar mengenai seorang remaja 15 tahun yang ditahan polis baru-baru ini didakwa ketua sebuah kumpulan kongsi gelap.

Bagi kes tersebut, Ayub menjelaskan, siasatan sedang giat dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan remaja itu dijadikan kambing hitam oleh rakan lain yang berusia lebih tua daripadanya.

Mengulas lanjut, katanya, polis menyedari tentang aktiviti seumpama yang berlaku di negeri ini dan kini sedang berusaha membanteras kegiatan seumpama itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis kini memberi tumpuan kepada gerai-gerai yang berniaga tanpa lesen terutama yang menjual DVD, VCD dan CD cetak rompak.

Menurutnya, mengikut laporan yang diterima, perniagaan seumpama itu dipercayai mendatangkan sumber pendapatan lumayan kepada sesebuah kumpulan kongsi gelap untuk meneruskan kegiatan mereka. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...