Friday, July 30, 2010

Denda Majikan, Bukan Pekerja - MTUC

PATREE menyokong kenyataan MTUC. Ada sebahagian Majikan yang tidak bertanggungjawab telah menjadikan pekerja asing sebagai PATI. Langkah memburu dan mengenakan tindakan kepada majikan adalah tepat.

PETALING JAYA 30 Julai - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Jumaat menyokong kempen kerajaan bagi memburu majikan yang melakukan kesalahan menggaji pekerja asing secara tidak sah.

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap pekerja yang menjadi mangsa akibat majikan yang tidak bertanggungjawab tidak akan dikenakan denda.

Kerajaan seharusnya memberi kemudahan dan tanpa sebarang gangguan membenarkan pekerja tersebut meninggalkan negara, kata Naib Presiden MTUC A. Balasubramaniam.

Beliau memberitahu Bernama pekerja berkenaan tidak harus dipersalahkan sekiranya visa mereka tidak diperbaharui kerana ia adalah di bawah tanggungjawab majikan untuk berbuat demikian.

Beliau mengulas mengenai usaha terkini Jabatan Imigresen untuk menangkap majikan yang menggaji pekerja asing secara tidak sah.

Beliau menyatakan MTUC telah banyak kali mengemukakan masalah kategori pekerja tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan pada masa lalu tetapi tiada penyelesaian dicapai.

"Kami berharap kempen ini akan dikekalkan dan pekerja akan diberi layanan adil," tambah beliau.

Katanya usaha itu telah tertangguh lama kerana pekerja telah lama dieksploitasi oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Statistik terbaru Kementerian Sumber Manusia menunjukkan terdapat 1.9 juta pekerja asing digaji secara tidak sah di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...