Friday, July 30, 2010

440,000 Pekerja Asing Tidak Dilindungi Insurans

Gambar hiasan

PUTRAJAYA 29 Julai - Kira-kira 440,000 pekerja asing di negara ini masih tidak diberi perlindungan insurans oleh majikan mereka sedangkan perkara itu termaktub di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952.

Justeru, Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Datuk Sh. Yahya Sh. Mohamed berkata, majikan yang menggajikan pekerja asing kecuali bagi sektor pembantu rumah kini diwajibkan mengemukakan polisi insurans pampasan pekerja masing-masing ketika dibawa masuk ke negara ini.

Beliau berkata, syarat tersebut merupakan antara perkara yang dipersetujui dalam perbincangan yang dilakukan bersama Jabatan Imigresen hari ini dalam usaha kedua-dua agensi itu meningkatkan penguatkuasaan secara bersama.

''Berdasarkan rekod JTK, ramai lagi pekerja asing yang tidak diberi perlindungan insurans. Jadi melalui kerjasama ini, kita percaya jumlah itu dapat diselaraskan apabila kita bersetuju untuk mengenakan syarat demikian.

''Berbanding sebelum ini, majikan membawa masuk dahulu pekerja asing dan mengambil insurans kemudiannya, tetapi masih ada yang gagal berbuat demikian sedangkan di bawah akta berkenaan, majikan yang ingkar boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Imigresen, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman.

Menurut Sh. Yahya, Kementerian Sumber Manusia telah melantik 31 panel insurans untuk memberikan perlindungan kepada pekerja asing sepanjang mereka bekerja di negara ini sekiranya berlaku sebarang bentuk kemalangan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...