Friday, July 23, 2010

19 warga asing ditahan


PASIR GUDANG – Seramai 19 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dan rampasan barangan termasuk kerusi dan meja di sita dalam Operasi Bersepadu Bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Pasir Gudang, di sini, malam semalam.

Operasi yang bermula jam 10 malam hingga 1 pagi melibatkan enam pegawai imigresen dari Pejabat Imigresen Pasir Gudang, lima anggota Rela dan 33 anggota penguat kuasa MPPG termasuk Bahagian Kesihatan MPPG.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pasir Gudang, Norazah Jenan berkata, seramai 19 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1999/63 (Pindaan 2002).

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke depot tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk tahanan reman selama 14 hari untuk tempoh siasatan.

“Operasi yang dijalankan di sekitar Simpang Kong Kong Masai, Taman Kota Masai, Taman Nusa Damai dan Taman Scientex berjaya menahan 19 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan.

“Tiga warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan kerana menyalahguna pas lawatan sosial, manakala 15 warga Thailand termasuk dua wanita ditahan kerana tinggal lebih masa dan seorang warga Myanmar ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Tadbir MPPG, Sharif Idros berkata, seramai 10 peniaga dikenakan kompaun sebanyak RM250 manakala enam kedai disita barangan kerusi dan meja dalam operasi melalui pemantauan penguat kuasa MPPG dan maklumat awam.

Menurutnya, MPPG terpaksa mengambil tindakan atas kesalahan berniaga tanpa lesen dan meletakkan kerusi dan meja di kawasan lot meletak kenderaan tanpa kebenaran MPPG.

“Kita terpaksa merampas buah-buahan di Simpang Kong Kong Masai kerana berniaga di kawasan larangan memandangkan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga mengundang kemalangan.

“Dalam kes rampasan buah-buahan, ia boleh ditebus dalam masa 24 jam, manakala bagi peniaga yang baru pertama kali melakukan kesalahan turut boleh mengambil semula barangan yang dirampas selepas membayar kompaun yang dikenakan,” katanya.

Sharif berkata, operasi seperti itu sebelum ini sering dijalankan dan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa melalui kerjasama dengan jabatan kerajaan yang lain. - Sinar

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...