Monday, May 10, 2010

Polis jamin kawal jenayah warga asing

BANDARAYA MELAKA - Sebanyak 72 kes jenayah melibatkan warga asing di sekitar negeri ini dikesan pada tahun 2009 menurut Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka.

Manakala pada Januari hingga Mac tahun ini, 33 kes dikenal pasti dan semua kes kini sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Hamdan Majid berkata dari jumlah kes pada tahun lalu, 35 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Bangladesh, 13 Vietnam, enam dari Pakistan, empat dari Myanmar, dua masing-masing dari Peru dan India, manakala dari Nepal, Singapura, Kemboja dan Cina masing-masing melibatkan seorang penjenayah.

“Manakala dari segi pecahan kes pula pada 2009, lapan kes melibatkan pembunuhan, samun berkawan tanpa senjata, 5 kes, dua kes rogol, mencabul kehormatan 7 kes, mendatangkan kecederaan 8 kes, ugutan jenayah sebanyak 4 kes, lain-lain kecurian/pecah rumah 37 kes, dan curi di malam hari dua kes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Menurut Hamdan, bagi tahun 2010 pula iaitu dari Januari hingga Mac sahaja, IPK merekodkan 33 kes iaitu tiga kes bunuh, enam kes samun berkawan tanpa senjata, 1 kes cabul kehormatan, lapan kes ugutan jenayah, 18 kes lain-lain kecurian/pecah rumah dan curi malam hari melibatkan 5 kes.

Manakala pada tahun dan tempoh sama, seramai 12 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Pakistan, empat Vietnam, dua Myanmar, dua dari India, tiga dari Nepal, satu Nigeria, satu Amerika dan satu lagi dari Kemboja.

“Selain dari jenayah di atas kita juga memantau warga asing yang terlibat dengan jenayah seks seperti pelacuran.

“Mereka ini kita pantau melalui operasi bersepadu yang kita kerap adakan dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain agensi,” katanya.

Menurutnya, pada tahun 2009, sebanyak 29 warga asing ditahan kerana terlibat dalam kes pelacuran di negeri ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 orang warga republik China, lima dari Thailand, lima Vietnam, dua dari Kazakhstan dan masing-masing seorang dari Indonesia dan Uzbekistan.

Manakala bagi Januari hingga April 2010 pula, 34 kes dikenal pasti melibatkan 19 orang dari republik China, 10 dari Thailand, empat dari Indonesia dan seorang dari Vietnam.

“Kita sebagai pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negeri, akan terus menjalankan gerak kerja mengesan dan menyelesaikan kes-kes yang melibatkan warga asing yang kita lihat agak serius.

“Dari statistik kita dapat lihat terdapat peningkatan kes jenayah di kalangan mereka, namun dengan kerjasama erat dari egensi dan masyarakat yang menjadi mata dan telinga kita, kita yakin kegiatan jenayah mereka dapat dikawal,” katanya. - Sinar Harian

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...