Monday, May 10, 2010

MPAJ sentiasa pantau warga asing

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menegaskan pihaknya sentiasa memantau warga asing dengan mengadakan operasi berkala di kawasan berkenaan bagi membendung kebanjiran golongan terbabit. Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata mereka kerap mengadakan operasi bersama polis dan Jabatan Imigresen bagi memastikan penduduk tempatan berasa selamat dan tidak terancam dengan kewujudan koloni warga asing di kawasan mereka.

“Pandan Mewah, Kampung Pandan, Tasik Permai, Bukit Permai dan Bandar Baru Ampang adalah sasaran kami mengadakan operasi kerana menjadi tumpuan warga asing untuk menetap di sana.

“Pecahan warga asing pula berbeza-beza di mana Pandan Mewah dan Bukit Permai dibanjiri pelbagai warga asing. Kampung Pandan hanya warga Indonesia, kawasan Ampang Point warga Korea serta Arab dan Bandar Baru Ampang pula warga Afrika,” katanya ketika ditemui di bangunan MPAJ, di sini, semalam.

Katanya, sikap masyarakat negara ini yang suka menyewakan rumah kepada warga asing menjadi masalah utama yang mendorong warga asing untuk menetap di sini.

Menurutnya, kewujudan mereka yang suka tinggal beramai-ramai menggerunkan masyarakat tempatan untuk bergerak bebas berikutan bimbangkan keselamatan diri.

Beliau berkata, operasi bersepadu selalunya dijalankan pada waktu malam kerana siangnya warga asing ini bekerja. “Peranan MPAJ hanya membabitkan soal kebersihan kawasan kediaman yang sering diabaikan mereka dan perkara berkaitan lesen perniagaan,” katanya.

Mengulas mengenai restoran yang dikatakan meletakkan kerusi meja di atas padang permainan yang menjadi ‘port’ warga asing meminum minuman keras dan kewujudan restoran milik warga Myanmar di Pandan Mewah, Norhayati berkata, pihaknya akan segera menyiasat perkara itu.

“Kami akan buat pemantauan dan semak lesen restoran tersebut. Pemilik restoran boleh berbuat demikian, asalkan ada permit. Kami akan buat tindakan penguat kuasaan jika perlu.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata pihaknya sudah banyak kali melakukan operasi di kawasan yang terdapat warga asing termasuk di Pandan Mewah.

“Daripada statistik yang saya ada, kawasan ini kerap digempur oleh kami dan Jabatan Imigresen. Malah operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa terutamanya apabila menerima maklumat daripada orang ramai.

“Berkaitan isu minuman keras yang dikatakan itu, kita kena tengok daripada mana mereka membelinya. Perlu merujuk kepada Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sama ada restoran atau premis yang menjualnya memiliki lesen. Jika berlesen, ia tidak menjadi kesalahan,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak boleh mengambil tindakan terhadap warga asing jika mereka sekadar berbual-bual tanpa mengganggu ketenteraman orang lain. “Kalau mereka main judi, buat tarian bogel, bergaduh ataupun lakukan perkara yang menyalahi undang-undang barulah kami boleh ambil tindakan.

“Saya minta penduduk yang merasakan warga asing mengganggu ketenteraman mereka dan melanggar peraturan, buatlah aduan secara rasmi kepada polis,” katanya. - Harian Metro

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...