Wednesday, May 5, 2010

Makmal khas urus warga asing

KOTA KINABALU 4 Mei - Makmal pengurusan khas yang ditubuhkan bagi meneliti secara terperinci permasalahan warga asing di Sabah secara rasmi beroperasi hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, makmal yang dianggotai 30 pegawai mewakili pelbagai agensi kerajaan berkaitan pengurusan warga asing, mempunyai tempoh empat minggu untuk menyiapkan laporan berkaitan isu tersebut.

''Tujuannya adalah untuk memperkemaskan pengurusan dan sistem kemasukan, pemantauan dan pengesanan warga asing yang berada di Sabah.

''Selain itu, kita juga mahu mendapatkan data terkini warga asing yang berada di Sabah mengikut kategori seperti kewarganegaraan, jenis pekerjaan, sektor dan industri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah di sini hari ini.

Musa berkata, penubuhan makmal tersebut diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Katanya, kumpulan 30 pegawai itu akan dibantu oleh tiga pegawai pemudah cara masing-masing dua dari Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri dan seorang daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) cawangan Sabah.

Beliau menambah, makmal khas itu juga akan menilai semula kos faedah warga asing dalam sub sektor pasaran seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan pelancongan.

Selain itu, tambahnya, makmal tersebut akan menilai opsyen dan proses yang boleh diperkemaskan bagi pengurusan kemasukan warga asing serta membuat cadangan penyelesaian yang baik dan kos efektif.

Sementara itu, Musa berkata, operasi bersepadu fasa tiga mengesan PATI bermula hari ini membabitkan seluruh daerah.

Katanya, pasukan penguat kuasa tidak mempunyai masalah untuk mengadakan operasi secara besar-besaran kerana mempunyai pusat tahanan yang mencukupi dan mampu menampung sehingga 12,000 tahanan. - Utusan

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...