Tuesday, May 4, 2010

Gaduh: 16 Lelaki Indonesia Ditahan

KUALA LUMPUR: Enam belas lelaki rakyat Indonesia dari dua kumpulan ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil di sini, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Osman berkata hasil maklumat orang awam pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan itu yang menimbulkan pergaduhan antara pukul 5.30 hingga 6.30 petang itu.

"Ketika operasi mengesan mereka dilakukan, anggota kumpulan itu dilihat memakai lilitan kain putih di kepala sambil memegang senjata tajam.

"Terkejut melihat kehadiran kami kesemua anggota kumpulan itu melarikan diri sambil mencampak beg yang berisi senjata tajam di tepi jalan kawasan terbabit," katanya.

Abdul Rahim berkata dalam kejadian itu pihaknya turut merampas 28 bilah parang panjang, empat bilah sabit, lima tukul besi, 11 kepala tali pinggang dan 16 batang besi.

"Kami masih menyiasat jumlah sebenar kesemua anggota kumpulan itu...ada dua lelaki (bukan daripada 16 orang itu) telah mengalami kecederaan ketika kejadian dengan seorang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala seorang lagi anggota kumpulan itu sedang dikesan," katanya. - mstar online


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...