Sunday, May 2, 2010

15 wanita GRO asing diberkas di dua pusat hiburan

KUALA LUMPUR 1 Mei - Tidak serik-serik. Meskipun pernah diserbu sebanyak tiga kali, sebuah pusat hiburan di Pandan Jaya di sini, tetap berdegil menggunakan khidmat pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing dari China untuk menarik pelanggan mereka.

Buktinya, seramai 15 wanita warga China ditahan dalam serbuan oleh 10 anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman yang diketuai oleh Asisten Supritendan Khairi Anuar Rusli.

Dua pegawai perhubungan pelanggan asing bertengkar dengan anggota polis wanita (kanan) ketika ditahan dalam satu operasi di Seri Hartamas, Kuala Lumpur, semalam. 

Katanya, siasatan mendapati semua wanita berusia 20-an hingga 30-an itu ditahan setelah menyalahgunakan pas pelawat dan dokumen perjalanan.

"Mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk disiasat mengikut Akta Imigresen," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi terbabit di sini malam tadi.

Katanya, siasatan mendapati premis tersebut pernah diserbu polis sebanyak tiga kali pada tahun lalu kerana kesalahan sama, namun dikesan kembali menggunakan khidmat GRO warga asing.

Sementara itu dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Seri Hartamas, seorang GRO warga Korea mencuri perhatian pihak penguat kuasa apabila cuba menyerang seorang jurugambar ketika merakam gambarnya.

Wanita yang berskirt mini tiba-tiba bertindak terjun keluar dari trak polis dan meluru ke arah jurugambar itu untuk menamparnya.

Wanita yang juga kelihatan mabuk itu menolak polis dan kemudian enggan menaiki trak tersebut.

Dia antara 12 wanita warga asing yang ditahan pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, premis tersebut beroperasi secara haram dan hanya dikhususkan kepada pelanggan Korea.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati premis itu berselindung di sebalik tiga lapisan pintu berkunci bagi mengaburi pihak penguat kuasa.

"Kesemua wanita berusia antara 21 dan 23 tahun itu juga dikatakan datang sendiri ke premis berkenaan bagi menjadi GRO kepada sembilan pelanggan di premis itu," katanya. - Utusan


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...