Saturday, April 10, 2010

Warga asing bolot tapak pasar

PETALING JAYA: “Masalah sama sejak bertahun-tahun, tapi tak pernah ada jalan penyelesaian,” luah peniaga, Mohd Yusof Muslim, 50, mengenai isu pemilikan gerai perniagaan di Pasar Besar Jalan Othman di sini, yang didominasi peniaga warga asing sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sudah buat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) beberapa kali dan tindakan sudah diambil, tetapi selang beberapa hari, masalah sama berulang kembali,” katanya.

Gambar hiasan

Menurutnya, 80 peratus daripada peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, India, Myanmar, China dan Indonesia. “Bukan kita menafikan hak orang lain mencari rezeki, kita cuma mahukan keadilan, terutama kepada peniaga tempatan.

“Bayangkan pekerja warga asing ini boleh duduk di gerai mereka selama berjam-jam tanpa rehat, macam mana kita nak bersaing dengan cara mereka berniaga, kita pun ada tanggungjawab lain,” katanya yang sudah 22 tahun menjual sayur di pasar itu.

Menurutnya, ada juga penguat kuasa MBPJ membuat pemeriksaan, tetapi warga asing yang bekerja di situ segera menghubungi pemilik gerai untuk datang dan mengaku sebagai pemilik gerai.

“Kadangkala pemilik sebenar pun turut bersubahat,” katanya dengan nada kesal. Menurutnya lagi, masalah terbaru di pasar itu membabitkan kemunculan warga asing dari China yang menjual ubat-ubatan dan barangan aksesori kecantikan tanpa permit.

“Kalau nak diikutkan, banyak lagi masalah dan isu yang belum selesai di pasar ini. Saya merayu penguat kuasa MBPJ membuat pemantauan serius dan mengambil tindakan terutama terhadap pemilik asal yang menyewakan gerai mereka,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati hampir semua gerai di pasar itu dijaga warga asing. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya akan meneliti aduan yang dibuat peniaga di pasar itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...