Saturday, April 24, 2010

Tiga wanita Vietnam diselamatkan


PUTRAJAYA 23 April - Tindakan nekad tiga wanita warga Vietnam mendapatkan bantuan seorang pemandu teksi supaya membawa mereka ke Ibu Pejabat Imigresen di sini semalam, berjaya membongkar satu sindiket kegiatan pemerdagangan manusia.

Penolong Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, James Musa Singa berkata, ketiga-tiga mangsa berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun itu melaporkan diperangkap oleh satu sindiket yang memaksa mereka melacur.
Rasidah Ismail (kanan), bertanyakan sesuatu kepada wanita warga Vietnam yang dijadikan mangsa kes pemerdagangan manusia di Putrajaya, semalam.

Susulan laporan itu, kata beliau, pihaknya menyerbu sebuah rumah murah dan kondominium di sekitar Cheras sebelum menahan tiga suspek iaitu dua wanita warga Vietnam berumur 20 dan 28 tahun serta seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun.

"Kira-kira pukul 3.30 petang semalam, kami didatangi tiga mangsa terbabit yang mendakwa mereka pada mulanya dijanjikan kerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke tetapi kemudian dipaksa menjadi pelacur.

"Kami tidak menolak sindiket ini ada kaitan dengan satu sindiket lebih besar di peringkat antarabangsa. Kesemua suspek akan didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM150,000," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Rasidah Ismail.

James berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menyelamatkan 13 orang mangsa yang diperdaya dalam kes pemerdagangan manusia, kebanyakannya berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.

"Seramai 11 suspek masing-masing lapan rakyat tempatan, dua Vietnam dan seorang warga Singapura berjaya ditahan. Semua kes masih dalam siasatan," katanya. - Utusan

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...