Thursday, April 29, 2010

Tiada Bukti Jelas Untuk Kaitkan Tertuduh Dengan Kematian Muntik - Peguam


SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu tiada bukti secara langsung untuk mengaitkan seorang penjual air tebu dengan kecederaan belakang dan jangkitan kuman di kaki kanan pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani yang menjadi penyebab kematiannya.

Peguam V.Rajehgopal yang mewakili tertuduh. A.Murugan juga berkata tiada keterangan di mahkamah yang menunjukkan bahawa kedua-dua kecederaan itu disebabkan oleh anak guamnya di antara 18 Okt dan 20 Okt tahun lepas.

"Keterangan di mahkamah adalah saksi melihat tertuduh menampar dan menendang (mangsa) dan tiada bukti jelas untuk mengaitkan tertuduh dengan kecederaan belakang mangsa.

"Sama juga terhadap jangkitan kuman akibat ulser kaki kanan mangsa. Ada keterangan di mahkamah menunjukkan mangsa ketika datang ke rumah tertuduh mempunyai bisul pada kaki kanannya. Pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan," katanya.

Rajehgopal memberikan hujahannya dalam perbicaraan terhadap Murugan, 36, yang didakwa membunuh Muntik, 36, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pada 26 Okt lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan.

Rajehgopal berkata laporan bedah siasat juga menunjukkan bahawa kematian mangsa disebabkan oleh kesan tidak langsung iaitu mangsa mengalami kecederaan saraf tunjang yang menyebabkan beliau lumpuh sehingga ke bawah dan komplikasi berkaitan seperti luka lambat sembuh, jangkitan kuman dan masalah pendarahan.

Selain itu beliau berhujah, laporan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa mempunyai penyakit salur darah jantung (ateroma koronari) yang teruk walaupun punca kematiannya disebabkan kecederaan belakang akibat trauma benda tumpul dan jangkitan kuman akibat ulser di kaki kanannya.

"Kesimpulannya, apa yang mahkamah perbicaraan perlu putuskan pada penutup kes pendakwaan ini ialah persoalan mengenai undang-undang sahaja. Tetapi dalam membuat kesimpulan itu, mahkamah perlu meneliti bukti yang ada didepannya. Jika bukti itu memang hebat atau jika pendakwaan gagal membuktikan satu atau lebih bahan-bahannya dalam tuduhan itu, mahkamah mempunyai alasan untuk tidak memanggil tertuduh untuk membela diri.

"Dalam kes ini, bukan sahaja bukti yang dibawa di depan mahkamah ini memang hebat tetapi bahan-bahan tuduhan tidak dibuktikan dan oleh itu pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie. Sebenarnya pembelaan berhujah bahawa tuduhan ke atas tertuduh adalah tidak benar dan sama ada remeh atau menyusahkan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pula berhujah berdasarkan keterangan yang ada, pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa perbuatan tertuduh yang menyebabkan kematian mangsa dan tiada orang lain yang menyebabkan kematian mangsa melainkan tertuduh sendiri.

Beliau berkata walaupun tiada keterangan secara langsung yang melihat tertuduh membunuh mangsa, melalui keterangan mengikut keadaan terbukti bahawa tertuduh telah menyebabkan atau telah melakukan perbuatan sehingga menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematian mangsa.

"Ini dapat dilihat melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan seperti jiran-jiran tertuduh bahawa tertuduh adalah orang yang melakukan perbuatan itu terhadap mangsa. Keterangan isteri tertuduh sendiri, D.Vanitha yang mengesahkan perbuatan suaminya (tertuduh) terhadap mangsa. Tertuduh juga adalah orang yang mengurung mangsa di dalam tandas selama dua hari sebelum mangsa dijumpai," katanya.

Idham berkata selain daripada keterangan mengikut keadaan, pendakwaan juga bergantung kepada akuan nazak mangsa yang dibuat kepada pegawai penyiasat dan doktor-doktor yang merawatnya berhubung kecederaan yang beliau alami.

"Mangsa memberitahu bahawa tertuduh adalah orang yang melakukan perbuatan tersebut ke atasnya. Mangsa juga ada menyatakan senjata yang digunakan oleh tertuduh semasa memukulnya sehingga membawa kepada kecederaan-kecederaan itu dan memberitahu bahawa beliau telah dikurung di dalam tandas selama dua hari tanpa diberi makan dan minum. Perbuatan-perbuatan ini yang membawa kepada kematian mangsa selepas enam hari dimasukkan ke hospital," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung paad Khamis. -- BERNAMA


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...