Saturday, April 17, 2010

RM25 bagi kami lumayan - PATI

KUALA LUMPUR 16 April - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita mengakui, upah menjual kuih sebanyak RM25 yang diperoleh setiap hari, amat tinggi dibandingkan dengan pendapatan penduduk di negaranya.

Atas sebab itu, wanita Indonesia itu yang hanya mahu dikenali sebagai Misuyanti, 21, sanggup bergadai nyawa datang secara haram ke negara ini tiga tahun lalu bagi mencari rezeki di sini.

 Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen dan Rela di Kuala Lumpur, semalam.

"Di Malaysia, suami saya bekerja sebagai buruh binaan manakala saya pula bekerja membuat kuih di sebuah pasar pagi dengan pendapatan RM25 sehari.

"Mungkin bagi orang Malaysia pendapatan RM25 itu sedikit tetapi ia cukup besar bagi kami yang berasal dari Indonesia. Wang ini jika dikirim ke negara kami amat tinggi nilainya," katanya yang hanya membayar RM200 sebulan bagi rumah sewa di Kampung Sri Makmur, Sri Gombak di sini.

Misuyanti bersama bayi lelaki berusia 42 hari dan suaminya adalah antara 52 orang PATI yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi di kampung tersebut, kira-kira pukul 2.45 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita, wanita itu mengaku kehidupan yang sukar di negara mereka menyebabkan rakyat Indonesia tidak serik-serik untuk ke Malaysia mencari rezeki, biarpun masuk melalui cara yang tidak sah.

"Di kampung saya di Jawa Timur, pendapatan keluarga saya sebagai nelayan memang tidak cukup untuk menampung hidup. Jadi hanya dengan bekerja di Malaysia sahaja, kami boleh hidup senang.

"Rezeki lumayan menanti di Malaysia mendorong saya sanggup mengambil risiko datang secara haram ke negara ini dengan menaiki feri meskipun terpaksa duduk berhimpit dengan penumpang lain sepanjang beberapa jam perjalanan," katanya.

Kehadiran mengejut 80 anggota penguat kuasa Imigresen bersama 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) turut menyaksikan pelbagai gelagat lucu pendatang asing yang panik cuba melepaskan diri daripada diberkas.

Antaranya, sekumpulan wanita dilihat berlari naik ke atas bumbung rumah malah ada yang segera bersembunyi di atas pokok.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd. Radzi Ain ketika ditemui selepas operasi berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di perkampungan setinggan itu selepas menerima maklumat tentang kehadiran ramai PATI.

Dalam serbuan itu, katanya, seramai 52 PATI iaitu 23 wanita dan 13 lelaki warga Indonesia, sembilan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Thailand diberkas.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berusia antara 42 hari hingga 50 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(l), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tinggal melebihi tempoh dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...