Saturday, April 3, 2010

Polis pantau jeti haram PATI masuk

KOTA KINABALU 2 April - Polis akan membuat pemantauan yang lebih kerap di beberapa lokasi jeti haram di daerah Tawau dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai jeti-jeti haram yang sering digunakan PATI untuk memasuki negeri ini.

"Pihak polis masih mengumpul maklumat untuk mengesan jeti-jeti haram di daerah Tawau bagi mengambil tindakan sekali gus mengatasi masalah kemasukan PATI ke negeri ini.

"Saya telah mengarahkan ketua polis daerah itu supaya membuat siasatan bagi mengesan juragan kapal yang dipercayai sering membawa masuk PATI melalui daerah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan di sini semalam.

Daerah Tawau yang terletak berhampiran sempadan Indonesia dikatakan sering menjadi lokasi tumpuan kemasukan PATI ke negeri ini.

Menurut Noor Rashid, pemantauan berterusan juga penting kerana terdapat bot yang mendarat di jeti haram selain tidak mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

"Ini membahayakan nyawa penumpang dan kita harap dengan pemantauan berterusan ini akan dapat memastikan semua bot turut mematuhi peraturan keselamatan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kehilangan pengurus dan penyelia pusat pembiakan rumpai laut dalam kejadian rompakan di Pulau Sebangkat di Semporna baru-baru ini, beliau berkata, siasatan masih diteruskan.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut dan sebarang perkembangan tidak boleh didedahkan agar tidak mengganggu siasatan.

"Bagaimanapun, kita percaya kedua-dua lelaki tersebut masih hidup," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...