Sunday, April 4, 2010

PGM Tahan Seorang Tekong Dan 22 Pendatang Asing

JOHOR BAHARU 4 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Marin (PGM) menahan 22 pendatang tanpa izin dari Indonesia dan seorang tekong pemastautin tetap yang cuba menysup masuk ke negara ini di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Ahad malam.

Komander Markas PGM Wilayah 2, ACP Mohd Khamsani Abd Rahman berkata hasil maklumat risikan, pihaknya mengesan sebuah bot laju gentian kaca dalam keadaan mencurigakan di 1.5 batu nautika di perairan Tanjung Balau.

Katanya sebaik sahaja dihampiri, bot tersebut tiba-tiba memecut laju ke arah pantai tetapi bagaimanapun mereka dapat ditahan pada kira-kira 11 malam.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 13 pendatang tanpa izin lelaki berusia 21 hingga 50 tahun dan sembilan wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun serta tekong berusia 46 tahun, katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Mohd Khamsani berkata sebuah lagi bot laju yang membawa pendatang tanpa izin berjaya melarikan diri dalam keadaan cuaca gelap dan hujan lebat.

Katanya kes itu disiasat mengikut mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen (Pindaan) 2002 kerana tiada dokumen perjalanan sah selain memasuki negara ini melalui pangkalan yang tidak diwartakan.

Katanya tekong berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 55(A)(1) akta yang sama kerana membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini secara haram.

PGM turut merampas bot berukuran 8.23 x 1.98 meter dengan enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda itu. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...