Friday, April 2, 2010

Pendatang kena kepung

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Selangor menahan 33 pendatang asing dalam satu serbuan di gerai makan milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Puncak Perdana berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam kelmarin.

 Gambar hiasan

Dalam operasi bermula jam 10 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian, Jabatan Imigresen terpaksa menyamar sebagai pelanggan sebelum mengepung kawasan terbabit bagi mengelak pendatang asing melarikan diri.
Daripada 33 yang ditahan itu, 23 lelaki dan selebihnya perempuan, membabitkan warga Thailand seramai 23 orang, Indonesia enam dan masing-masing satu membabitkan India, Sri Lanka dan Pakistan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi, berkata serbuan itu dibuat hasil aduan orang ramai selain risikan yang dibuat pihaknya.

“Ketika serbuan, ada pendatang asing ini cuba melarikan diri, namun kami sudah bersedia dengan mengepung kawasan itu dan menggagalkan tindakan pendatang asing terbabit.

“Kebanyakan mereka yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah dan tidak memiliki pasport,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik gerai makan terbabit kerana menggaji pekerja yang tidak memiliki permit sah kerana ia menyalahi undang-undang.

“Semua mereka itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002. Pendatang asing terbabit kemudian dihantar ke depot tahanan Imigresen Machap Umboo, Melaka,” katanya.

Jabatan Imigresen juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehadiran pendatang asing supaya menyalurkannya kepada Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...