Friday, April 30, 2010

Nasib Tertuduh Kes Pembunuhan Muntik - 7 Mei

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat depan untuk keputusan kes pembunuhan pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani selepas perbicaraan, yang bermula 18 Jan lalu, berakhir Khamis.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujah masing-masing sejak semalam.

Pendakwaan menutup kes mereka pada 12 Mac lepas selepas 50 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan selepas tertuduh A.Murugan, 35, mengaku tidak bersalah membunuh pembantu rumah berusia 36 tahun itu.

Murugan, seorang penjual air tebu, didakwa membunuh Muntik, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani sementara tertuduh diwakili peguam V.Rajehgopal.

Terdahulu itu, dalam hujahannya, Idham berkata sekiranya tertuduh bukan orang yang membunuh Muntik, dia tidak akan mengurung mangsa, yang dalam kesakitan akibat kecederaan teruk, di dalam tandas yang berkunci dari luar atas alasan apa sekalipun.

"Kalau bukan tertuduh yang lakukan perbuatan itu kenapa dia tidak bawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Seandainya tertuduh tiada niat untuk membunuh mangsa, dia tidak akan melakukan perbuatan itu.

"Justeru itu, memang tertuduh yang melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sehingga menyebabkan kematiannya," katanya.

Mengenai akuan nazak mangsa, Idham berkata terdapat enam saksi mendengar sendiri pengakuan mangsa (mengenai perbuatan tertuduh) dan mangsa juga berada dalam keadaan sedar semasa membuat pengakuan itu.

"Sekiranya mahkamah sukar menerima kenyataan mangsa yang dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, adalah selamat untuk mahkamah terima kenyataan bertulis daripada doktor yang merawat mangsa berhubung pengakuan itu," katanya.

Ketika membalas hujahan itu, Rajehgopal mempersoalkan kegagalan pendakwaan memanggil ibu tertuduh, M. Vasantha Rani sebagai saksi memandangkan wanita itu turut tinggal bersama tertuduh dan keluarganya.

Katanya sekiranya ibu tertuduh dipanggil sebagai saksi maka keterangannya selaras dengan keterangan isteri tertuduh D Vanitha.

Katanya mahkamah juga perlu meneliti keterangan seorang lagi saksi, Puah Hooi Sueew, kerana dia merupakan bekas majikan mangsa.

Rajehgopal berkata tiada bukti menunjukkan tertuduh membunuh mangsa selain daripada pendakwaan bergantung kepada bukti mengikut keadaan sahaja.

Katanya saksi yang dikemukakan oleh pendakwaan hanya menyatakan mereka melihat tertuduh menendang dan memukul mangsa dengan penyapu.

"Tiada bukti menunjukkan semua perbuatan itu menyebabkan kematian mangsa dan tiada bukti menunjukkan perbuatan itu dilaklukan antara 18 dan 20 Okt," katanya.

Katanya anak guamnnya sepatutnya dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes itu. -- BERNAMA

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...