Monday, April 12, 2010

Majikan Simpan Pekerja Asing Tamat Tempoh Visa Boleh Kena Tindakan

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang didapati masih membenarkan pekerja asing untuk terus bekerja dengan mereka walaupun selepas visa pekerja berkenaan tamat tempoh, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Dalam satu kenyataannya di sini , beliau berkata sebaik sahaja tempoh visa pekerja terbabit tamat, majikan mereka seharusnya memohon untuk melanjutkan tempoh tersebut, atau menghantar pekerja berkenaan kembali ke negara asal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu leporan berita hari ini yang memetik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai mendakwa lebih 150,000 pekerja asing di reatoran dan kedai-kedai makan tidak dapat kembali ke negara asal apabila tempoh visa mereka tamat kerana pasport mereka dipegang oleh majikan masing-masing.

Naib Presiden MTUC A.Balasubramaniam dilaporkan berkata pekerja itu tidak berniat untuk tinggal lebih daripada tempoh yang dibenarkan, tetapi mereka dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa mereka yang tamat tempoh.

Subramaniam berkata jumlah pekerja asing yang terlibat sebagaimana yang didakwa oleh MTUC agak besar, dan beliau meminta supaya MTUC membekalkan maklumat lebih terperinci mengenai perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...