Wednesday, April 14, 2010

Majikan pekerja asing diberi lebih tanggungjawab

PUTRAJAYA 13 April – Majikan yang mengambil pekerja asing selepas ini akan diberikan tanggungjawab yang lebih terperinci bagi memastikan tidak timbul lagi isu negatif membabitkan warganegara asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada perkara yang dikaji oleh makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan 23 Mac lalu.
 Gambar hiasan

Menurutnya, makmal tersebut yang operasinya akan berakhir 23 April, setakat ini berjaya menggariskan beberapa cadangan untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan warganegara asing yang komprehensif serta berkesan.

“Dalam tempoh dua minggu terakhir, makmal tersebut akan memperinci dan memperkemaskan laporan bagi dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas cadangan itu diperakui oleh jawatankuasa tersebut, ia akan dibawa ke Kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal berkenaan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, perbincangan dalam makmal berkenaan meliputi aspek-aspek iaitu sistem dan proses; penawaran dan permintaan; penguatkuasaan dan perundangan.

“Dalam aspek perundangan, kita telah meminta makmal untuk meneliti keperluan bagi memperincikan tugas dan tanggungjawab majikan dalam keseluruhan proses pengambilan pekerja asing.

“Tanggungjawab tersebut merangkumi peringkat kemasukan pekerja, sepanjang tempoh keberadaan di negara ini dan ketika pekerja tamat tempoh permit dan perlu keluar dari negara ini,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menstruktur semula kadar levi yang antara lain menimbangkan cadangan penetapan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh bekerja. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...