Tuesday, April 13, 2010

Kos Pengambilan Pembantu Rumah Lebih Rendah Akan Dicadang

MEDAN, 13 April (Bernama) -- Kos pengambilan pembantu rumah yang lebih rendah adalah antara cadangan yang akan dikemukakan untuk perbincangan antara Malaysia dan Indonesia bagi memperkemaskan kaedah pengurusan penghantaran tenaga kerja Indonesia dalam sektor tidak formal ke Malaysia.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sudah memperoleh satu angka kos yang lebih rendah bagi penghantaran tenaga kerja itu dan sedang mendapatkan maklumat perbandingan dengan kos dari Medan, Pekan Baru dan Pontianak.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata perkara itu akan menjadi antara cadangan yang akan dibawa ke perbincangan tahunan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono nanti.

Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah untuk perbincangan tahunan itu kali ini.

Syed Mushe Afdzaruddin berada di sini untuk lawatan kerja selama tiga hari setelah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia tiga setengah bulan yang lalu.

Pada 25 Feb lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengambil inisiatif mengaturkan perbincangan antara agensi pekerja asing Malaysia dan Indonesia, yang menghasilkan kesepakatan kedua-dua belah pihak mencari jalan bagi menurunkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia, yang kini dianggap terlalu tinggi.

Penelitian terhadap struktur kos pada perbincangan oleh agensi pekerja asing kedua-dua negara itu mendapati bahawa kos yang dikenakan ialah RM6,100 dan ia dianggap tinggi.

Dalam keadaan sebenar, ada majikan Malaysia yang terpaksa membayar sehingga RM8,000 untuk mendapatkan pembantu rumah Indonesia.

Selain kos tetap yang dikenakan kerajaan Indonesia dan Malaysia mengikut keperluan undang-undang dan peraturan, kos lain seperti kos latihan dan penajaan didapati terlalu tinggi hingga menyebabkan kos pengambilan pekerja itu bertambah besar.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata kos yang tinggi itu bukan sahaja membebankan majikan yang perlu mendahulukan bayaran tersebut, malah juga kepada pembantu rumah yang akan menanggung potongan gaji bulanan yang lebih tinggi.

Majikan Malaysia juga kurang senang dengan keadaan ini kerana ia sering menjadi punca pembantu rumah lari apabila mereka berasa seperti ditipu kerana terpaksa bekerja tanpa gaji untuk suatu tempoh tertentu.

Duta Besar Malaysia itu berkata bagi melindungi kepentingan majikan Malaysia, satu jaminan seperti dalam bentuk kontrak mungkin dicadangkan juga bagi memastikan majikan tidak kerugian jika pembantu rumah mereka lari setelah pekerja itu dibenarkan memegang sendiri pasport masing-masing.

Indonesia menggantung sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia dan kerajaan kedua-dua negara sedang berbincang bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baru dalam memperkemaskan pengurusan penghantaran mereka.

Malaysia berharap MoU baru yang bakal ditandatangani mengenai pembantu rumah Indonesia itu akan menguntungkan kedua-dua pihak Malaysia dan Indonesia dan sekaligus dapat menjamin hak dan perlindungan kepada pekerja dan majikan.

Penghantaran pembantu rumah Indonesia telah banyak membantu pembangunan ekonomi Malaysia kerana ia membolehkan sebahagian besar golongan wanita keluar bekerja dan pada masa yang sama ia juga membantu ekonomi Indonesia kerana memberi peluang kerja kepada rakyatnya yang mengirim pulang wang ke negara asal.

Pagi ini, Syed Munshe Afdzaruddin dan rombongan mengunjungi Gabenor Sumatera Utara Datuk Seri Samsul Aripin di kediaman rasminya di sini untuk membincangkan usaha digiatkan lagi mengenai hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...