Saturday, April 17, 2010

Jaga kebajikan pekerja asing elak jenayah

KUALA LIPIS 16 April - Golongan majikan digesa menjaga kebajikan pekerja asing terutamanya dari aspek gaji untuk mengelak pekerja terbabit terlibat dalam kejadian jenayah.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kes jenayah terutamanya membabitkan kes pecah rumah berpunca daripada pekerja asing terbabit tidak mendapat gaji atau upah seperti yang dijanjikan.

Menurut beliau, pekerja terbabit juga tidak diberi penjelasan sebenar mengenai upah atau gaji, sistem waktu kerja dan faedah kebajikan lain.

"Kebanyakan kes jenayah warga asing turut berpunca daripada pekerja keliru dan terpedaya apabila upah yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

"Masalah ini menyebabkan rasa tidak puas hati, tertekan dan akhirnya tercetus perkara negatif akibat tidak ada tempat bagi pekerja berkenaan untuk mengadu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Polis daerah Lipis dengan masyarakat Orang Asli sempena Sambutan Ulang Tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Ulu Kenip, Pos Betau dekat sini semalam.

Abdul Razak berkata, majikan daerah ini perlu bijak mengurus pekerja asing masing-masing tanpa mengeksploitasi mereka untuk meraih keuntungan.

Katanya, segelintir majikan membawa masuk pekerja berkenaan tidak jujur termasuk menggunakan kekerasan dalam menguruskan pekerja mereka.

"Ramai pekerja asing yang datang ke sini tertipu dengan perkhabaran mengenai senario lokasi dan sistem kerja yang baik di negara ini, namun berlaku sebaliknya hingga menyebabkan harapan pekerja berkenaan musnah ketika menjejakkan kaki ke sini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...