Wednesday, April 14, 2010

Hujahan kes bunuh Mantik ditangguh 28 April

SHAH ALAM 13 April – Penggulungan hujah bagi kes peniaga air tebu, A. Murugan yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan pada 28 dan 29 April ini.


Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh dalam kes itu, V. Rajehgopal yang memerlukan tempoh masa tambahan untuk menyediakan hujahan bertulis.

Terdahulu, hujahan pada akhir kes pendakwaan itu tertangguh selepas Rajehgopal yang sempat berhujah ringkas secara lisan memohon diberi tempoh untuk mengemas kini dan menyediakan hujahan bertulis.

Permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani atas alasan mahkamah telah memberi masa yang mencukupi bagi pihak pendakwaan dan pembelaan menyediakan hujahan bertulis selain pihaknya telah bersedia meneruskan prosiding.

Murugan, 36, didakwa membunuh Mantik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbuddin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, 50 saksi pendakwaan termasuk isteri tertuduh dipanggil memberi keterangan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...