Friday, April 2, 2010

Buruh maut jatuh bangunan

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Indonesia maut apabila tali pengikat pelantar di tingkat 28 sebuah bangunan hotel yang dalam pembinaan di belakang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), di sini tiba-tiba terputus, pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa hanya dikenali sebagai Sugeng, 29 dikatakan sedang melakukan kerja pemunggahan di tingkat berkenaan sebelum tali pengikat pelantar putus menyebabkan mangsa yang tidak menggunakan tali keselamatan terjatuh.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mangsa yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai terjatuh ketika melakukan kerja di bangunan yang belum siap itu. “Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. “Bagaimanapun kami akan melihat laporan bedah siasat untuk memastikan sama ada wujud unsur lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...