Friday, April 23, 2010

Amah perdaya amah


SHAH ALAM: Dia sepatutnya pulang ke negara asalnya, Indonesia bersama wang berjumlah RM20,000 selepas 14 tahun bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini, namun hasratnya itu tidak tercapai selepas wang terbabit habis dikebas rakannya juga pembantu rumah dari Indonesia.

Lily Setiawati Selenur, 40, dijangka kembali ke kampung halamannya, Lombok pada 29 April ini selepas sekian lama berkhidmat di rumah majikannya di Bukit Jelutong, di sini, malah segala persiapan temasuk tiket penerbangan sudah ditempah majikan.
Namun, Lily yang masih bujang itu terpaksa melupakan hasratnya selepas segala ‘kekayaan’ yang dikumpulkan di negara ini hilang sekelip mata selepas dilarikan seorang lagi pembantu rumah yang tinggal bersamanya, dikenali sebagai Nia, 22.

Antara barang berharga dilarikan dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin itu, termasuk barang kemas dianggarkan berjumlah RM15,000, tiga telefon bimbit berjumlah RM2,000 dan selebihnya wang tunai dalam Ringgit Malaysia (RM) dan Rupiah.

Sementara itu, majikan mangsa, Norila Shaari, 41, berkata dia mempunyai dua pembantu rumah warga Indonesia iaitu, Lily dan Rohani Tahir, 38, manakala Nia baru sebulan bekerja di kediamannya bagi menggantikan Lily.

“Sejurus kejadian, saya dihubungi Rohani mengatakan Nia lari dari rumah dan menuju ke arah sebuah pasar raya yang terletak kira-kira dua kilometer dari kediaman saya.

“Sebaik menerima panggilan, saya yang ketika itu berada di pejabat, di Seksyen 13, bergegas pulang sebelum cuba mengesannya di sekitar Bukit Jelutong, namun gagal,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Sebelum melarikan diri, Nia yang berketurunan Madura dan berasal dari Jawa Timur memberi alasan kononnya mahu mencuci tingkap belakang rumah, bagaimanapun, kesempatan itu digunakannya untuk melarikan diri sebelum ia diketahui pembantu rumah lain.

Norila berkata, dua juga cuba menghubungi telefon milik mangsa yang dicuri itu dan mendapati semuanya masih berfungsi dengan baik, bagaimanapun, tidak dijawab.

“SMS yang dihantar dia, jawab dan mendakwa akan pulang, tetapi itu semua helah dia kerana sehingga sekarang, dia gagal dikesan.


“Suami saya kemudian membuat semakan panggilan dan mendapati ia dibuat di Mentakab, Pahang,” katanya.

Norila berkata, Nia memasuki negara ini pada 24 Mac lalu menggunakan pas pelancong dan bekerja sebagai pembantu di rumahnya bagi menggantikan seorang lagi yang akan menamatkan kontrak.

Katanya, ketika melarikan diri, Nia yang mempunyai ketinggian 143 sentimeter memakai baju biru, seluar track gelap dan berselipar.

“Walaupun barang berharga di rumah saya tidak diusik, tetapi saya kasihan dengan nasib yang menimpa Lily, bagaimanapun dia seorang yang tabah.

“Saya juga berharap orang ramai yang melihat Nia supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya yang membuat satu laporan polis di Balai Polis Bukit Jelutong, sejurus kejadian.

Susulan itu, dia terpaksa membuat pembatalan dengan Jabatan Imigresen bagi membolehkan Lily bekerja di negara ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu. - Harian Metro

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...