Sunday, April 25, 2010

75 Orang Pelarian Sri Lanka Ditahan Di Perairan Piandang

PULAU PINANG, 25 April (Bernama) -- Seramai 75 pelarian Sri Lanka yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Tanjung Piandang, Kerian dua hari lepas.

Mereka yang terdiri daripada 61 lelaki, enam wanita dan enam orang kanak-kanak yang kesemuanya berusia antara 5 hingga 60 tahun ditahan kira-kira 3 pagi oleh polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.

Sebahagian dari 75 pelarian Sri Lanka menjamah makanan yang diberikan selepas ditahan di jeti Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

Mereka dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga iaitu Australia.

"Difahamkan bahawa pendatang asing tanpa izin ini melarikan diri daripada negara mereka dan mahu menyeludup masuk ke negara ketiga iaitu Australia.

"Antara tuntutan mereka ialah jaminan bahawa mereka boleh pergi ke mana-mana negara dengan selamat serta diterima oleh negara yang ingin mereka pergi, dan mereka meminta untuk dihantar ke Australia," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob.

Beliau berkata bot yang mereka naiki didapati mengalami kerosakan.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Pangkalan Jeti Marin Batu Uban di sini pada pukul 6.40 petang. Namun pada mulanya mereka enggan turun daripada bot apabila sampai di jeti dan mereka turut mengugut untuk terjun ke laut sekiranya dipaksa berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Ayub berkata mereka enggan turun kerana pihak berkuasa di sini tidak dapat memenuhi tuntuan mereka untuk ke negara ketiga.

Pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Pelarian untuk membuat rundingan dengan pelarian tersebut, katanya.

Belia berkata para pelarian akhirnya dikeluarkan dari dalam bot ke darat kira-kira 11.40 pagi tadi.

Ayub berkata mereka kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Juru selama 14 hari untuk tindakan lanjut.

Katanya polis turut menyiasat sekiranya pelarian didalangi oleh pihak lain.

"Jika sekiranya mereka didapati didalangi oleh mana-mana tekong, kes ini akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya. -- BERNAMA

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...