Friday, April 9, 2010

38,316 warga asing kerja tanpa permit

KUALA LUMPUR: Seramai 38,316 warga asing kebanyakannya dari India dan Sri Lanka serta tidak mempunyai permit kerja kini bekerja sebagai tukang masak atau pekerja am di restoran Cina dan India di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kajian Gabungan Persatuan dan Pengusaha Restoran Malaysia mendapati daripada jumlah itu, 29,437 bekerja di restoran dan kedai kopi Cina, manakala 8,879 lagi di restoran India. Perkara ini didedahkan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India, Datuk R Ramalingam di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Hadir sama Ketua Biro itu, Datuk Michael Chong.

Ramalingam bimbang sekiranya Jabatan Imigresen membuat serbuan ke atas restoran dan menghantar pulang pekerja yang tidak mempunyai permit, pengusaha restoran berdepan masalah kekurangan pekerja yang serius, sekali gus mungkin terpaksa gulung tikar.

“Pengusaha restoran bukan mengutamakan pekerja asing, masalah kita ialah rakyat tempatan enggan bekerja di sektor pemakanan dengan menjadi tukang masak atau pekerja restoran.

“Pada 1999, kami pernah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari pekerja dan berjaya merekrut 630 lelaki menganggur dan yang berminat untuk bekerja.

“Kami turut menanggung kos pengangkutan sebanyak RM1,500 untuk seorang, bagaimanapun pelaburan itu tidak berbaloi kerana mereka hanya bertahan selama enam bulan dan beralih ke pekerjaan lain,” katanya.

Berikutan itu, Ramalingam bersama enam persatuan pengusaha restoran termasuk pengusaha kedai dobi dan landskap menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya satu kajian berhubung penghantaran pulang pekerja asing terbabit diperincikan semula.

Ramalingam tidak menafikan pelbagai kes jenayah dilaporkan kebelakangan ini mengenai salah laku warga asing, bagaimanapun bukan semuanya bermasalah, malah ada yang bekerja semata-mata mencari rezeki untuk keluarga mereka di negara asal.

“Sektor ini sebenarnya memberi pendapatan lumayan, sekiranya bekerja dengan rajin, tukang masak restoran mampu meraih antara RM1,500 hingga RM4,500 sebulan manakala pekerja am sehingga RM1,000,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...