Tuesday, April 6, 2010

273 bilik dimusnah

KUALA LUMPUR: Selepas bergelumang dengan noda sejak sekian lama, puluhan rumah pelacuran ‘cinta lima minit’ yang menjadi sarang ratusan pelacur asing dan tempatan mencari pelanggan akhirnya musnah selepas digempur penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pagi semalam.
 Gambar hiasan

Dalam operasi khas membasmi kegiatan pelacuran itu, lebih 100 anggota penguat kuasa DBKL menghancurkan deretan lebih 20 rumah pelacuran yang terletak di Jalan Petaling, di sini.
Dalam operasi besar-besaran berkenaan turut disertai Jabatan Kesihatan dan anggota Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) itu, beberapa rumah pelacuran dibina dengan papan lapis dipecah masuk satu persatu.

Wartawan Harian Metro yang berada di lokasi kejadian mendapati kehadiran ratusan anggota penguat kuasa seolah-olah disedari lebih awal oleh kumpulan ‘bapa ayam’ yang menguruskan rumah pelacuran terbabit berikutan kebanyakan harta benda berharga sudah dipindahkan terlebih dulu.

Malah, ratusan pelacur warga asing dari Filipina dan Indonesia yang biasanya sudah menawarkan perkhidmatan seawal jam 9 pagi didapati ‘ghaib’ dipercayai disembunyikan sindiket pelacuran yang mengawal kawasan terbabit.

Dalam operasi memusnahkan sarang pelacuran terbabit, anggota penguat kuasa DBKL menggunakan kuku kambing, tukul besi termasuk gergaji elektrik untuk memusnah struktur kebanyakan rumah pelacuran dua tingkat berkenaan.

Tinjauan mendapati setiap rumah pelacuran berkenaan dibina menggunakan bahan asas kayu yang mempunyai puluhan bilik khas bagi digunakan untuk tujuan pelacur melakukan hubungan seks dengan pelanggan.

Setiap bilik tidur kecil berkenaan turut dilengkap dengan katil, tilam dan sinki kecil yang digunakan pelacur saban hari untuk melayani puluhan pelanggan dengan bayaran antara RM20 hingga RM30 bagi setiap perkhidmatan diberikan.

Menyedari sindiket pelacuran berkenaan sering kali berupaya untuk membangunkan semula aktiviti rumah pelacuran itu, anggota penguat kuasa DBKL memusnahkan sepenuhnya semula bilik kecil dan dinding kayu dibina dalam rumah pelacuran berkenaan.

Dalam operasi hampir dua jam itu, 273 bilik kecil digunakan untuk melampias nafsu dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pelacuran terbabit tidak dibangunkan semula selepas ini. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...