Wednesday, April 14, 2010

18 rumah setinggan diroboh, 34 PATI ditahan

KOTA KINABALU 13 April – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan 18 buah rumah setinggan dalam operasi bersepadu di kawasan paya bakau di kampung Likas, semalam.

Pengarah Penguat Kuasa DBKK, Abdul Mukti Muchlish berkata, dalam operasi selama lima jam bermula 8 pagi itu, pihaknya turut menahan 34 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
 Gambar hiasan

“Semasa operasi dijalankan tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan operasi ini berjaya mencapai matlamat.

“Kita telah menyerahkan kesemua PATI kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya
Menurutnya, operasi tersebut disertai lapan anggota Jabatan Imigresen, 30 penguat kuasa DBKK, 32 anggota Rela, dua anggota Sabah Electricity Sdn. Bhd, dua kakitangan Jabatan Air dan enam anggota polis.

Katanya, tindakan merobohkan rumah setinggan tersebut dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan 1951.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya akan terus melakukan operasi bersepadu berkenaan di kawasan yang dikenal pasti bagi merealisasikan setinggan sifar di negeri ini.

Tambahnya, pihaknya juga akan terus memantau kawasan yang telah dirobohkan bagi memastikan tiada pembinaan haram baru.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bekerjasama dengan DBKK dan tidak membina rumah-rumah setinggan.

“Saya juga berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan melaporkan mengenai pembinaan rumah setinggan kepada DBKK,” ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...