Thursday, April 8, 2010

17 'Awang Hitam' antara 48 ditahan penguat kuasa

KUALA LUMPUR 7 April - Tujuh belas 'Awang Hitam' adalah antara 48 warga asing yang ditahan pihak penguat kuasa kerana kesalahan Imigresen dalam operasi bersepadu fasa pertama di sekitar kawasan Metro Prima Kepong di sini hari ini.

 Gambar hiasan
 
Metro Prima Kepong yang dikenali sebagai port warga asing itu diserbu pihak penguat kuasa kira-kira pukul 6 petang ini selepas menerima aduan daripada orang ramai yang kurang selesa dengan kehadiran mereka.

Aduan itu turut mengaitkan kelakuan 'Awang Hitam' yang gemar mengusik gadis-gadis tempatan.

Kesemua mereka termasuk lima wanita warga Myanmar dan Indonesia ditahan ketika sedang berlegar-legar dan ada di antara mereka yang bekerja di restoran dan kedai kopi tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Ketika serbuan dilakukan, ada di antara mereka bertempiaran lari, menyelamatkan diri dan mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, operasi bersepadu yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu dibahagikan kepada dua fasa utama.

Fasa pertama, katanya, bermula kira-kira pukul 6 petang dan berakhir pada pukul 7.30 malam.

"Dalam fasa ini operasi kita hanya bertumpu di kawasan-kawsan tumpuan warga asing, restoran dan kedai kopi manakala fasa kedua yang bermula pada pukul 10 malam ini dijangka berakhir kira-kira pukul 8 pagi esok," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menjelaskannya, operasi fasa kedua akan bertumpu di kawasan perumahan yang sering dikaitkan sebagai port warga asing.

Kebanyakan yang ditahan, kata Khairi, adalah membabitkan kesalahan Imigresen kerana tidak memiliki permit, memiliki permit tamat tempoh atau dokumen palsu. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...