Sunday, April 4, 2010

16 warga asing ditahan ketika nyenyak tidur

ALOR GAJAH: Seramai 16 pekerja warga asing sebuah kilang yang tidak memiliki dokumen perjalanan dicekup ketika nyenyak tidur dalam Ops Sapu di Taman Seri Pelangi, Rembia, dekat sini, awal pagi semalam.

Kebanyakan warga asing berkenaan yang nyenyak tidur atau berehat di luar rumah tergamam apabila disergah pihak berkuasa yang berjaya mengelirukan mereka.

Pengarah Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa Melaka, Shadan Othman, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam mengenai kebanjiran warga asing sekitar taman perumahan terbabit sebelum pihaknya melakukan risikan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, beberapa anggota dibahagi dalam kumpulan dan menjalankan serbuan serentak sebelum menahan 16 pekerja lelaki iaitu enam warga Indonesia dan 10 warga Bangladesh berusia 20 hingga 39 tahun kerana didapati tiada dokumen sah.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) akta sama bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“Warga asing terbabit dibawa ke balai polis untuk siasatan, di mana jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh disebat tidak melebihi enam kali,” katanya.

Shadan berkata, tindakan undang-undang mengikut akta sama juga boleh dikenakan kepada rakyat tempatan jika menggaji, melindungi atau membenarkan pendatang tanpa izin (Pati) bekerja atau tinggal di premis mereka.

“Rakyat tempatan yang bersubahat boleh ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi Pati boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda di antara RM10,000 hingga RM50,000 dan sebatan tidak lebih enam kali.

“Operasi seumpama itu akan diteruskan bagi membendung kebanjiran warga asing ke negara ini.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dan melaporkan kepada jabatan kami bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Turut serta dalam operasi itu ialah polis, Jabatan Imigresen negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...