Tuesday, March 9, 2010

Warga Vietnam dipenjara

SHAH ALAM 8 Mac - Dua tahun lalu, seorang pekerja stesen minyak warga Vietnam yang melakukan rompakan sanggup memukul pengawal keselamatan sehingga pengsan sebelum memecah masuk ke asrama pekerja kilang wanita.

Tidak cukup dengan perbuatan itu, Pham Anh Dung, 24, mengheret dan menghumban Taib Kassim, 54, ke dalam longkang di hadapan asrama tersebut sehingga mangsa yang tidak berdosa itu menemui ajal kerana lemas.

Lelaki itu kemudiannya bukan sahaja bertindak ganas dengan mengikat empat wanita dan merompak mereka malah membakar asrama tersebut apabila dikepung oleh pihak polis.

Meskipun terlepas daripada hukuman mati, Anh Dung hari ini menerima balasan atas perbuatan tersebut apabila dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian Taib.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan merompak empat pekerja kilang wanita yang merupakan rakan senegaranya.

Kedua-dua hukuman itu bagaimanapun diperintahkan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh Anh Dung ditangkap pada 18 Januari 2008 iaitu pada hari kejadian.

Beliau dalam penghakimannya berkata, hukuman tersebut setimpal dengan perbuatan tertuduh kerana menyebabkan nyawa mangsa, seorang lelaki yang mempunyai keluarga serta sedang berkerja mencari rezeki halal telah melayang.

Katanya, tertuduh bukan sahaja menyebabkan kematian dan merompak, malah bertindak agresif dengan membakar asrama semasa cuba melarikan diri daripada pihak polis.

''Kalau hendak mencuri, mengapa perlu humbankan mangsa ke dalam longkang yang ada lumpur bertakung sehingga menyebabkan mangsa lemas dan meninggal dunia. Semua itu berpunca daripada pukulan yang menyebabkan mangsa pengsan.

''Tertuduh datang ke Malaysia untuk bekerja dan mempunyai fizikal yang sihat, mengapa perlu melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan kematian.

''Berdasarkan fakta, sejak kebelakangan ini juga warga asing didapati sering melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang apabila berlaku sedikit provokasi seolah-olah negara kita tidak ada undang-undang,'' katanya.

Anh Dung mengaku menyebabkan kematian Taib di No. 53A, Jalan Dendang 9, Taman Telok, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini antara pukul 1 dan 1.30 pagi, 18 Januari 2008.

Dia yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagaimanapun ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh juga mengaku merompak empat wanita Vietnam itu dengan melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik mereka pada masa serta tempat yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Erwani Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Ghazali Taib.

Mengikut fakta kes, selepas memukul Taib dan menghumban mangsa ke dalam parit, tertuduh telah mengambil sebilah pisau di dapur asrama untuk merompak dan mengancam beberapa wanita Vietnam yang menginap di situ.

Dalam kejadian tersebut, dua wanita berjaya melarikan diri dengan terjun melalui tingkap manakala empat lagi telah diikat dan dirompak oleh tertuduh.

Apabila menyedari kehadiran pihak polis, Anh Dung telah mengacukan pisau ke leher seorang wanita dan meminta agar disediakan sebuah motosikal dan sepucuk pistol.

Setelah permintaannya tidak dilayan, dia mengarahkan wanita tersebut membuka lima tong gas dan menyalakan api dengan menggunakan wang kertas serta dokumen-dokumen lain sehingga memaksa pihak polis mendapatkan bantuan pasukan bomba.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan dan tertuduh telah ditahan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...