Friday, March 5, 2010

Wanita dipercayai warga asing mati dikelar, dicampak tepi jalan

KLANG: Seorang wanita dipercayai warga Indonesia dibunuh kejam dengan kesan kelar di leher sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan dalam kebun tebu di Kampung Hamid Tuah, Lingkaran Ikan Yu, Jalan Ikan Yu, Teluk Gong, Pandamaran di sini, semalam.

Mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan meniarap di tepi jalan oleh orang awam sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 10 pagi sebelum satu pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat kejadian.

Menurutnya, pada leher mangsa ditemui satu wayar elektrik dipercayai digunakan penyerang untuk menjerut mangsa selain kesan darah kelar.

“Tiada kesan pergelutan di tempat kejadian dan kami tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di situ,” katanya di sini, semalam.

Berdasarkan keadaan mayat, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum mayat ditemui.

Mohamad berkata, identiti mangsa belum diketahui dan mangsa dianggarkan berusia antara 35 hingga 40 tahun.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti serta latar belakang dan motif pembunuhan ini.

“Senjata juga tidak ditemui di tempat kejadian dan kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...