Tuesday, March 30, 2010

Wahid Terima RM50,000 Selepas Luluskan Visa Pekerja

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini Selasa diberitahu bahawa bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don menerima RM50,000 setelah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh pada 2008.

Saksi ke-29, Datuk Seri Low Chang Hian berkata wang itu diserahkan ketika berkunjung ke rumah Wahid bersama-sama dengan rakannya 'Mr Sim', iaitu orang yang turut terlibat dalam mendapatkan pekerja asing.

Katanya pembayaran itu adalah susulan daripada pembayaran pertama yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Zulkafli Maulud sebanyak RM350,000 setelah memperoleh kelulusan visa tersebut.

"Sim menghubungi saya untuk berjumpa di rumah Datuk Wahid. Perbincangan turut berkisar mengenai perkara lain, bukan mengenai pekerja Bangladesh sahaja, kerana Sim asalnya mahu mendapatkan nasihat dan panduan daripada Datuk Wahid kerana Sim diberikan kelulusan oleh kementerian untuk menubuhkan pejabat perwakilan di China.

"Selepas itu Sim berikan satu sampul surat kepada saya dan berkata ia mengandungi RM50,000 dan beritahu saya wang dalam sampul surat itu untuk dikongsi antara Datuk Wahid dan saya. Saya tidak buka sampul surat itu, saya hanya serahkan kepada Datuk Wahid," katanya.

Low, 66, memberikan keterangan pada perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Low, juga seorang ahli perniagaan, pada 19 Ogos tahun lepas sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Terdahulu Low memberitahu mahkamah yang beliau berjumpa dengan Wahid ketika bermain golf pada 2006 dan dalam pertemuan itu Zulkafli turut ada bersama.

Katanya, Zulkafli pernah beberapa kali menghantar maklumat kepadanya untuk mendapatkan kelulusan visa dan sepanjang urusan itu Zulkafli telah menghantar maklumat sebanyak 16 kali mengenai pekerja dan syarikat pemohon, bermula 24 Jun hingga 28 Julai 2008 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) melibatkan 3,773 pekerja.

Low berkata Sim menetapkan bayaran sebanyak RM280 setiap seorang dan terdapat beberapa pembahagian di kalangan mereka yang terlibat dengan jumlah keseluruhannya RM1,056,440 (untuk 3,773 pekerja).

"Bayaran RM280 itu, menurut Sim ialah RM180 adalah untuk diberikan kepada menteri, RM20 untuk rakan Sim yang juga seorang peguam yang menjadi perantara kepada menteri, Sim ambil RM40 untuk diri sendiri, RM20 untuk Wahid dan RM20 bagi belanja saya," katanya

Low berkata pada 9 Julai 2008, beliau telah ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Hotel PJ Hilton setelah selesai berurusan dengan Zulkafli.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung 10 Mei.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal Ariffin Ismail manakala Wahid diwakili peguam V. Sithambaram. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...