Wednesday, March 17, 2010

Terjun tingkap elak dicekup


GOMBAK: Dua pendatang asing warga Myanmar sanggup terjun dari tingkap sebuah rumah teres dua tingkat bagi meloloskan diri daripada dicekup dalam satu serbuan di Kepong, malam kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu sia-sia apabila ditahan bersama dua lelaki lain kerana mendalangi sindiket pengedaran cakera padat digital (DVD) cetak rompak sejak enam bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses dan mencetak DVD cetak rompak di Jalan Daya 3, Taman Daya kira-kira jam 11.30 malam.

“Ketika serbuan, empat suspek sibuk mencetak DVD pelbagai tajuk filem tempatan dan antarabangsa menggunakan beberapa komputer yang ditempatkan dalam bilik tidur rumah berkenaan.

“Selain suspek warga Myanmar serta seorang buruh kontrak, polis turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga pakar teknologi maklumat di sebuah syarikat IT antarabangsa dipercayai menggunakan kepakarannya untuk melakukan kegiatan itu ,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, hasil serbuan, polis merampas 16,000 keping DVD cetak rompak dan 156 DVD lucah.

“Selain itu, polis turut merampas dua set komputer, 11 mesin pencetak, satu mesin pengimbas, 12,000 DVD kosong yang belum dicetak, buku tunai serta buku jualan yang semuanya bernilai RM60,000.


“Sindiket ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dengan mengedarkan DVD cetak rompak kepada sindiket lain di Klang, Petaling Jaya dan Sentul,” katanya.

Rosly berkata, dua suspek warga tempatan terbabit disiasat mengikut Seksyen (4) Akta Penapisan Filem manakala warga Myanmar berkenaan akan didakwa mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...