Friday, March 26, 2010

Sindiket Pelacuran Pulau Pinang Kutip RM93,000 Sebulan Tumpas



BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pelacuran menggunakan wanita warga asing yang mampu menghasilkan kutipan RM93,000 sebulan selepas menyerbu sebuah hotel di Jalan Baru, Perai di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner (SAC) II Wan Abdullah Tunku Said berkata hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu sebuah hotel dan menahan seorang lelaki yang disyaki 'bapa ayam' di situ.
"Semasa serbuan pada 11.30 malam itu, lelaki berusia 39 tahun berkenaan baru selesai berurusan dengan pelanggan berhubung urusan menempah pelacur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya siasatan lanjut, polis menahan lima wanita warga China yang sedang melacur dalam bilik di hotel berkenaan.
"Lima daripada mereka berusia antara 26 dan 28 tahun berada dalam keadaan separuh bogel dan sedang melayan lima lelaki tempatan dalam bilik masing-masing," katanya.
Wan Abdullah berkata dalam operasi itu, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang remaja wanita warga China berusia 17 tahun yang dipercayai dieksploitasikan sebagai pelacur oleh sindiket berkenaan.
Katanya polis merampas beberapa kondom yang telah dan belum digunakan, gel pelincir, buku catitan dan wang tunai RM3,512.
"Sindiket itu dipercayai memperoleh RM200 untuk setiap khidmat pelacur dan dipercayai terdapat 10 hingga 15 pelanggan menggunakan perkhidmatan pelacuran berkenaan setiap hari," katanya.
Beliau berkata lelaki berkenaan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan memperdagangkan kanak-kanak sebagai pelacur menurut Seksyen 14.
Manakala lima wanita warga asing turut direman kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan disiasat menurut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, katanya. - mstar online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...