Monday, March 22, 2010

Serbu 'Patpong KL'

KUALA LUMPUR: “Kami sudah mengenal pasti lokasi dan akan melakukan serbuan dalam masa terdekat,” kata Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah ketika mengulas laporan Metroplus mengenai kegiatan pelacuran di Jalan Gelang di sini.

Difahamkan, kebanyakan pelacur di kawasan berkenaan adalah warga asing. Mereka dipercayai menyalahgunakan visa lawatan sosial dan permit pekerjaan.

Kadar murah untuk sekali perkhidmatan menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan termasuk di kalangan lelaki warga emas.

Menurut Razali, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci sebelum melakukan serbuan bagi mengelakkan mereka yang bertanggungjawab terlepas.

“Malah, kami (polis) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama pemilik premis yang didapati menyalahgunakan permit perniagaan.

“Berdasarkan pengalaman kebanyakan premis yang menyediakan khidmat seks didapati ‘berselindung’ di sebalik permit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka menjadi besar kepala selepas menerima permit perniagaan selain tamak sehingga sanggup menyediakan khidmat seks kepada pelanggan.

“Mereka hanya memiliki permit untuk melakukan urutan badan atau kaki, sebaliknya menjadikan ‘permit’ berkenaan sebagai lesen melakukan perkara yang melanggar undang-undang,” katanya.

Menurutnya, dia percaya pihak DBKL juga tidak akan berkompromi dengan pemilik premis dengan menarik permit serta-merta sekiranya didapati melanggar undang-undang.

“Mana-mana pemilik atau individu yang didapati bersalah menyalahgunakan permit berkenaan tidak akan dibenar melakukan permohonan semula.

“Jadi, saya menasihatkan mereka supaya tidak melakukan kesalahan berkenaan hanya mahu mengejar keuntungan kerana lebih ramai ahli perniagaan di luar sana menanti untuk mendapatkan permit berkenaan.

“Malah, orang ramai disarankan supaya menjauhi kawasan pelacuran terbabit bagi mengelakkan diberkas,” katanya.

Jumaat lalu, Metroplus melaporkan mengenai kegiatan pelacuran di sebuah kawasan digelar sebagai ‘Patpong KL’ yang menjadi tumpuan kebanyakan lelaki hidung belang termasuk warga emas.

Lebih mengejutkan apabila ada antara pelacur terbabit sanggup melakukan hubungan seks secara terbuka di kawasan berkenaan. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...