Friday, March 5, 2010

Sentral: Lemas dihimpit warga asing

 
 TINDAKAN kurang sopan sebahagian warga asing mengganggu ketenteraman penduduk terutama wanita di sekitar Kampung Melayu Subang.

Penduduk Kampung Melayu Subang bimbang kebanjiran pendatang tingkat kejadian jenayah

SHAH ALAM: Bagaikan berada di negara asing walaupun tinggal di kampung halaman sendiri. Itulah dilema yang dihadapi penduduk Kampung Melayu Subang di sini, apabila kawasan penempatan mereka dibanjiri pendatang asing termasuk Indonesia, Nepal, Myanmar dan Bangladesh sejak beberapa tahun lalu.

Tinjauan Sentral ke penempatan itu, kelmarin mendapati pendatang asing terbabit yang kebanyakannya dipercayai tidak mempunyai permit, bebas berkeliaran sama ada berkumpulan atau berseorangan di sekitar kampung itu dengan pelbagai gaya dan ragam sehingga melemaskan penduduk tempatan.

Kebanyakan pendatang asing lelaki kelihatan seperti samseng dengan telinga bertindik dan berambut panjang tanpa terurus hingga menimbulkan rasa curiga penduduk tempatan dan lebih menghairankan kedai runcit serta gerai makan di kampung itu seolah-olah turut dimiliki mereka.

Seorang penduduk, Ahmad Solihin Muhammed, berkata sejak kebanjiran pendatang asing di kampung itu yang dipercayai berjumlah lebih 5,000 orang, ia menimbulkan banyak masalah sosial termasuk menjadi punca kepada kejadian pecah rumah.

Beliau berkata, pendatang asing wanita pula didapati menjalankan kegiatan melacur dan terbabit dalam penyalahgunaan dadah seperti syabu.

WARGA asing melepak di kaki lima kedai membimbangkan penduduk tempatan.
“Saya difahamkan pendatang asing wanita terbabit dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan bayaran RM30 untuk sekali perkhidmatan.

“Saya khuatir pelajar sekolah dan golongan belia terjebak dengan gejala negatif yang dibawa pendatang asing wanita ini,” katanya kepada Sentral.

Beliau berkata, pendatang asing terbabit juga bersikap kurang ajar dengan penduduk tempatan termasuk memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah apabila ditegur hingga menimbulkan kemarahan penduduk setempat.

“Bilangan mereka yang lebih ramai di kampung ini menjadikan penduduk tempatan berasa terancam dan tidak selamat,” katanya.
Beliau berkata, kejadian pecah rumah juga berlaku sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Katanya, kebanyakan mereka berhijrah ke kampung ini dengan menyewa rumah penduduk selepas beberapa kilang dibina di kawasan perindustrian berdekatan.

Muhammad Samman Harun, 24, berkata beliau meminta pihak berkuasa mengambil perhatian serius terutama dari aspek keselamatan dan budaya serta pengaruh luar yang dibawa pendatang asing terbabit.

“Pihak berkenaan disaran untuk lebih kerap melakukan pemeriksaan mengejut terhadap pendatang asing yang mencurigakan di Kampung Melayu Subang ini,” katanya.

Seorang wanita yang enggan dikenali berkata, perlakuan pendatang asing lelaki di kampung itu menakutkannya selepas seorang rakannya diraba ketika membeli-belah di pasar malam pada Jumaat lalu.

“Bukan itu saja, mereka melakukan perbuatan sama ketika bersesak dalam bas dan yang sering menjadi mangsa adalah remaja perempuan ketika hendak ke sekolah.

“Sebagai wanita, perbuatan itu satu ancaman besar kepada kami dan sebelum ia melarat kepada perbuatan lebih teruk, saya menggesa pihak berkuasa berbuat sesuatu bagi mengurangkan kehadiran mereka di kampung ini,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...