Monday, March 1, 2010

Sampel tisu, tulang Muntik dirujuk kepada dua pakar forensik

SHAH ALAM: Perbicaraan kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu sebanyak 30 blok tisu dan spesimen tulang yang belum diproses milik mangsa dihantar kepada seorang pakar forensik di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada 1 November tahun lalu.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Norliza Ibrahim, 34, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Muntik berkata beliau menghantar sendiri semua blok tisu dan spesimen tulang itu kepada Dr Mohd Suhani Mohd Noor bagi memperoleh pendapat kepakaran doktor itu dalam pemeriksaan histopatologi iaitu kajian terhadap tisu yang berpenyakit.

"Saya kemudian dimaklumkan oleh Dr Mohd Suhani bahawa beliau telah menghantar sampel tisu dan tulang kepada seorang lagi pakar forensik Dr Jessie Hiu yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, bagi memperoleh pendapat kepakaran doktor itu dalam pemeriksaan histologi iaitu kajian terhadap sel-sel tisu.

"Blok-blok tisu itu kemudian dihantar semula kepada saya termasuk juga beberapa blok baru yang diproses daripada spesimen tulang yang saya hantar sebelum itu," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani pada perbicaraan kes penjual air tebu, A Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan.

Ketika ditanya Idham adakah menjadi amalan bagi doktor yang mengendalikan bedah siasat untuk memperoleh pendapat kedua dalam pemeriksaan histologi dan histopatologi, saksi ke-36 pendakwaan yang dipanggil semula memberi keterangan itu berkata ia bergantung kepada kerumitan sesuatu kes terbabit.

"Apabila difikirkan lebih maklumat diperlukan berkaitan dengan sesuatu kematian, maka rujukan akan dibuat kepada doktor-doktor yang mempunyai kepakaran lanjutan dalam bahagian itu.

"Saya telah minta Dr Mohd Suhani untuk beri pendapat tentang pemeriksaan tisu yang telah dijalankan olehnya, maka saya tidak bergantung kepada blok tisu yang saya hantar untuk membuat kesimpulan dan pandangan dalam bedah siasat saya," katanya.

Turut memberi keterangan pada perbicaraan hari ini ialah saksi ke-45 pendakwaan, Atase Polis di Kedutaan Indonesia, Bratamandala, 48.

Beliau mengesahkan pasport milik Muntik adalah dokumen tulen selain memberitahu mahkamah bahawa beliau ada melawat mangsa di hospital pada 21 Oktober lalu dan semasa proses bedah siasat ke atas mayat mangsa pada 26 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...