Monday, March 22, 2010

'Rumah Indonesia' diserbu

SHAH ALAM – Seramai 47 warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak ditahan dalam satu operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dijalankan di kawasan perumahan Taman Datuk Ahmad Rozali, Ampang Jaya, awal pagi semalam.

Serbuan mengejut melibatkan kerjasama polis dengan beberapa agensi penguatkuasa lain itu dijalankan kira-kira jam 2 pagi sebelum kira-kira 125 penduduk kawasan perumahan yang terkenal dengan jolokan ‘Rumah Indonesia’ di situ diperiksa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, keadaan menjadi gempar seketika apabila ada segelintir Pati yang terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa bertindak memanjat bumbung dan serta terjun ke dalam sungai berdekatan selaian turut bersembunyi di bawah jambatan bagi mengelak daripada dicekup.

Bagaimanapun, menurutnya, berlaku sedikit pergelutan namun pihaknya bersama agensi penguatkuasa lain dapat menahan sebahagian daripada mereka yang cuba melarikan diri.

Katanya, daripada jumlah diperiksa itu, pihaknya menahan 19 lelaki dan 28 wanita termasuk dua kanak-kanak lelaki yang salah seorangnya dikenalpasti sebagai warga Myanmar.

“Semua yang ditahan berusia lingkungan setahun hingga 55 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

“Kebanyakan mereka yang bekerja sebagai buruh serta pelayan di kedai makan di negara ini, dibawa ke balai untuk pemeriksaan ujian saringan air kencing sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

:Amiruddin berkata, siasatan lanjut pihaknya di kawasan perumahan berkenaan mendapati hampir 70 peratus warga Indonesia mendiami kawasan tersebut dan keadaan itu menyebabkan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan sama berasa bimbang dengan keselamatan mereka.

“Oleh itu, kita mengambil inisiatif dengan mengadakan operasi bersepadu ini bagi membasmi habis-habisan kebanjiran Pati yang tidak mempunyai dokumen sah sekaligus memerangi jenayah membabitkan warga terbabit di negara ini,” katanya selepas operasi selama tiga jam itu berakhir.

:Menurutnya, polis bersama agensi penguatkuasa lain akan terus mengadakan operasi yang sama dari semasa ke semasa bagi mengesan Pati di daerah itu. - Sinar harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...