Monday, March 22, 2010

Presma: Hanya 180 Rakyat Tempatan Mohon Kerja Sebagai Pembantu Restoran

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Hanya 180 rakyat tempatan membuat permohonan untuk mengisi 25,000 kekosongan jawatan sebagai pembantu restoran yang ditawarkan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Timbalan Presiden Presma Kadhar Shah Abdul Razak berkata daripada permohonan itu, 40 warga tempatan telah diterima bekerja dan bilangan itu amat kecil berbanding jumlah sebenar yang diperlukan oleh 7,000 restoran di bawah naungan persatuan itu.

Beliau berkata Presma sememangnya berharap kesemua 25,000 jawatan yang ditawarkan dapat diisi rakyat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selaras dengan dasar kerajaan.

"Kita sudah gantung banner di semua rangkaian restoran ahli kita seluruh negara, mereka boleh datang terus untuk temuduga di restoran cawangan, tidak perlu datang ke Kuala Lumpur dan sebagainya.

"Mereka tidak perlu fikir tentang kemudahan untuk pergi temuduga, datang sahaja ke cawangan restoran dan isi borang, tapi sekarang sambutan tidak sampai satu peratus pun," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pemuda Umno, Presma dan Reach Org Sdn Bhd bagi mengatasi masalah golongan merempat di bandar di sini hari Isnin.

Pada 10 Feb lepas, Presma telah menawarkan 25,000 peluang pekerjaan sebagai pembantu restoran di seluruh negara kepada warga tempatan dengan tawaran gaji yang menarik termasuk menikmati kemudahan yang termaktub dalam undang-undang buruh.

Kadhar Shah berkata antara punca utama pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu restoran adalah kerana tidak tahan dengan tekanan pelanggan yang dihadapi semasa bekerja.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata menerusi MoU itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Presma dan Reach Org bagi membantu golongan merempat di bandar-bandar seluruh negara dengan memberi pendedahan kepada mereka tentang peluang pekerjaan.

"Mereka ini sebenarnya mahu bekerja cuma mereka tidak tahu macam mana, kita akan mendekati mereka dan cuba dedahkan mereka dengan pelbagai peluang pekerjaan termasuk yang ditawarkan oleh Presma," katanya.

Terdapat kira-kira 20,000 golongan merempat yang tiada tempat tinggal dan pekerjaan di seluruh negara dengan majoriti daripadanya berusia 30 tahun dan ke bawah. --BERNAMA

1 comment:

  1. saya berminat memohon penyelia di presma.. apakah alamat dan bagaimana hendak memohon? adakah di johor ada jawatan ini...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...